Penduduk kutip dana biayai semakan kehakiman projek PJD Link


Noel Achariam

Pada Mei, penduduk Petaling Jaya menyuarakan bantahan terhadap cadangan PJD Link dalam tinjauan bebas penilaian impak sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2023.

PENDUDUK Petaling Jaya memulakan kempen kutipan dana bagi semakan kehakiman mereka terhadap cadangan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link).

Mereka menetapkan sasaran sebanyak RM100,000 untuk membiayai tindakan undang-undang bagi mendapatkan laporan penilaian trafik, alam sekitar dan sosial mengenai projek PJD Link daripada pihak berkuasa.

Pengerusi Persatuan PJ Lestari Chakaravathi Thillainathan berkata inisiatif pengumpulan dana mereka bermula dua minggu lalu.

“Setakat ini kami sudah mengumpul RM12,000 dan akan meneruskan sehingga mencapai sasaran kami.

“Matlamat utama kami adalah untuk mengkaji projek PJD Link. Kami sedang berusaha untuk mendapatkan dokumen (TIA, SIA, EIA) melalui semakan kehakiman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dilaporkan pada 10 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada empat penduduk Petaling Jaya untuk meneruskan pendedahan dokumen mengenai cadangan projek PJD Link.

Penduduk yang memfailkan kes mereka pada 7 Jun, memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keengganan pihak berkuasa menyerahkan dokumen mengenai perjanjian konsesi projek dan laporan TIA, SIA, EIA.

Chakaravathi berkata pengurusan kes seterusnya dijadualkan pada awal Oktober.

“Arahan untuk mengisi afidavit akan dilakukan pada September.

“Kami sedang berusaha mendapatkan dokumen daripada Pelan Malaysia Selangor, kerajaan Selangor dan agensi berkaitan.

“Kami mahu mengkaji dokumen itu dan kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman baharu sekiranya projek itu diluluskan.”

Beliau berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai pembangunan seperti cendawan tumbuh di sekitar Petaling Jaya.

“Kita tubuh persatuan ini untuk menangani rungutan penduduk di sini. Penduduk boleh menyalurkan isu mereka kepada kita.”

Bagi kutipan dana, beliau berkata persatuan mereka memerlukan dana untuk semakan kehakiman dan juga aktiviti lain untuk penduduk.

“Kami mahu menganjurkan ceramah dan menjalankan aktiviti mengenai kepentingan kelestarian (untuk Petaling Jaya).

“Kita juga akan berhubung dengan semua persatuan penduduk di sini untuk menjalinkan jaringan masyarakat yang baik.

“Ini bagi menyokong kami sekiranya terdapat sebarang projek atau cadangan akan datang yang tidak sesuai untuk Petaling Jaya.

“Kami mahu membantu penduduk membawa isu melalui saluran yang betul supaya suara mereka didengari.”

Pada Mei, penduduk Petaling Jaya menyuarakan bantahan terhadap cadangan PJD Link dalam tinjauan bebas penilaian impak sosial (SIA).

Tinjauan menunjukkan 93.6% responden yang tinggal di sepanjang cadangan jajaran dari Bandar Utama ke Bandar Kinrara di Puchong membantah projek itu.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata syarikat konsesi PJD Link masih belum memenuhi syarat perjanjian.

Beliau berkata projek itu secara prinsipnya mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan dan kelulusan dasar daripada kerajaan Selangor pada 30 September 2020 sebelum perjanjian konsesi ditandatangani pada 5 April tahun lepas.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri belum memberi kelulusan kepada pemaju PJD Link.

Untuk menderma, klik pautan di bawah dan jadilah sebahagian daripada perjalanan transformatif ini.

https://www.saynotopjdlink.org/donate.html. – 26 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen