Kabinet setuju semak Akta Hasutan, kata Azalina


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata aspek lain berkenaan provokasi membabitkan agama dan bangsa akan turut diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai 2023.

JEMAAH menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 (Akta 15) disemak bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi institusi diraja daripada sebarang provokasi, kata Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata aspek lain juga akan diteliti bagi menangani provokasi membabitkan agama dan bangsa.

“Jemaah menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan ini digunakan hanya untuk melindungi institusi raja-raja daripada sebarang provokasi.

“Aspek lain berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan institusi raja-raja sebagai ketua agama Islam, dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta Hasutan 1948 dan memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah benar-benar bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Azalina berkata perbincangan dan kajian mengenai undang-undang berkaitan isu 3R (agama, raja dan kaum) termasuk sama ada akta baharu diperkenal akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet minggu ini.

Beliau berkata pembentangan kajian fasa pertama itu akan dilakukan secara menyeluruh sebelum sebarang ketetapan dibuat.

“Menerusi sesi libat urus yang terdiri daripada Perbincangan Kumpulan Fokus dan Dialog Perundangan 3R baru-baru ini, ia bukan membincangkan undang-undang baharu… saya jemput Badan Peguam dan pihak berkepentingan untuk bincang hala tuju sebab ada yang berpendapat undang-undang sedia ada mencukupi.

“Namun ada juga kata perlu ada cara undang-undang lain seperti di Singapura dan Australia, sebenarnya Kabinet mengarahkan Kementerian Perpaduan dan Bahagian Undang-Undang untuk terlibat dalam perbincangan tersebut,” katanya seperti dolapor Bernama.

Pada 18 Julai, menteri itu dilapor berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan bagi menilai undang-undang sedia ada serta memperhalusi keperluan untuk mewujudkan akta baharu berkaitan isu 3R pada Jumaat lepas.

Dalam perbincangan ini kajian atau penilaian akan dibuat terhadap undang-undang sedia ada (antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948). – 25 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen