Ada bahan boleh sebabkan kebakaran bawah kereta Siti Kasim, kata polis


Polis masih menungggu laporan lengkap berhubung bahan yang boleh menyebabkan kebakaran pada dua botol plastik disyaki bahan letupan termampat yang ditemui di bawah bahagian kereta peguam dan aktivis sosial Siti Kasim pada Jumaat lepas. – Gambar Facebook, 25 Julai 2023.

LAPORAN awal analisis unit bom mendapati ada bahan yang boleh menyebabkan kebakaran pada dua botol plastik disyaki bahan letupan termampat (IED) yang ditemui di bawah bahagian kereta peguam dan aktivis sosial Siti Kasim di Bangsar, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis bagaimanapun masih menungggu laporan lengkap berhubung bahan letupan itu.

“Berapa jarak bom itu boleh meletup juga sedang disiasat…nak buat bom ini amat mudah kerana boleh dipelajari daripada internet,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu Ayob Khan menyerahkan Bendera Kejohanan World Police & Fire Games Winnipeg 2023 kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri. Majlis itu disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Azmi Abu Kassim.

Beliau berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Letupan dan setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada 12 individu antaranya pekerja mekanik, pemilik bengkel, pegawai keselamatan, pihak mahkamah, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Orang Asli.

Ayob Khan berkata polis juga membuat penilaian kamera litar tertutup melibatkan tempat-tempat yang peguam dan aktivis sosial yang nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim itu pernah pergi, bagi mengesan mereka yang terlibat.

“Polis akan menyiasat daripada keseluruhan aspek termasuk suspek guna IED untuk membalas dendam,” katanya.

Beliau berkata sebelum kejadian tiada sebarang laporan ugutan jenayah ke atas Siti Kasim yang diterima polis.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilapor berkata polis tidak menolak kemungkinan bahawa suspek yang memasang dua botol plastik disyaki IED di bahagian bawah kereta Siti Kasim mempelajari teknik membuat bahan letupan itu menerusi internet.

Jumaat lepas, dua botol plastik menyerupai bahan letupan ditemui di brek bahagian tayar belakang kereta jenis Toyota Celica milik Siti Kasim, ketika kereta itu dihantar ke pusat servis di Jalan Maarof, Bangsar. – Bernama, 25 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen