PRESIDEN Iran Ebrahim Raisi pada Isnin berkata negara serantau sepatutnya berperanan sebagai pihak yang menyelesaikan isu di rantau itu kerana campur tangan asing hanya akan merumitkan keadaan, lapor Xinhua.
Beliau membuat kenyataan itu semasa pertemuannya dengan Menteri Luar Armenia Ararat Mirzoyan yang melawat Tehran. Kenyataan itu disiarkan di laman sesawang pejabat presiden.
Raisi berkata Iran menyokong rundingan damai antara Armenia dan Azerbaijan dan yakin rundingan itu akan membantu memastikan keamanan serta keselamatan di rantau berkenaan.
Beliau menyuarakan bantahan Iran terhadap campur tangan asing dan sebarang perubahan geopolitik di rantau itu, sambil menambah bahawa negaranya menyokong kebebasan kedaulatan dan integriti wilayah negara serantau.
Presiden Raisi turut menekankan mengenai perlunya untuk meningkatkan hubungan dua hala dan Iran tidak melihat sebarang halangan untuk mengembangkan hubungan dengan Armenia.
Sementara itu, Mirzoyan memuji peranan Iran dalam pembangunan wilayah Caucasus dan menekankan bahawa negaranya tidak akan menjadi platform anti-Iran.
Beliau turut menekankan perlunya untuk memastikan keamanan dan keselamatan serantau.
Armenia dan Azerbaijan bertelagah mengenai wilayah Nagorno-Karabakh sejak 1988. Rundingan damai berlangsung sejak 1994 dan mencapai gencatan senjata, namun pertempuran kecil masih berlaku antara kedua-dua pihak.
Pusingan baharu konflik bersenjata tercetus di sepanjang garisan hubungan pada 27 September 2020, sebelum Rusia menjadi perantara gencatan senjata pada 9 November 2020.
Kedua-dua pihak sejak itu mengadakan perjanjian damai. – Bernama, 25 Julai, 2023.
Komen