KETUA junta tentera Mali, Kolonel Assimi Goita menerima pakai perlembagaan baharu kontroversi selepas keputusan pungutan suara menyokong pindaan perkara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Keputusan referendum Jun, yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan 96.91% undian menyokong pindaan yang akan memberi laluan kepada pilihan raya parlimen dan presiden yang demokratik.
Bagaimanapun, jumlah penyertaan dalam referendum itu hanya 38.23%, menurut Mahkamah Perlembagaan.
Di bawah perlembagaan yang dicadangkan untuk menggantikan teks dari 1992, peranan presiden dan tentera akan diperkukuh dengan ketara dengan mengorbankan Parlimen. Tentera akan diamanahkan dengan “pelaksanaan undang-undang” manakala presiden mendapat kuasa ke atas perdana menteri dan Kabinet.
Pengkritik menunjukkan perenggan yang boleh menjadi pengampunan bagi rampasan kuasa tentera dan pencabulan hak asasi manusia terkini.
Goita, pemimpin yang merampas kuasa pada 2021 dan mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara pada Sabtu mengumumkan kelulusan Perlembagaan itu tetapi masih belum menyatakan sama ada beliau akan bertanding jawatan presiden.
Mali, yang menyaksikan tiga rampasan kuasa tentera sejak 2012, dibelenggu oleh kebimbangan keselamatan yang sentiasa ada, terutamanya di bahagian utara dan tengah negara itu. – Bernama, 25 Julai, 2023.
Komen