TABUNG Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) merayu bantuan berjumlah AS$33 juta untuk menyokong pendidikan 300,000 kanak-kanak pelarian Cox’s Bazar yang didaftarkan untuk tahun persekolahan 2023-24.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pertubuhan itu, tahun akademik baharu itu menandakan kali pertama kanak-kanak pelarian Rohingya dari semua peringkat umur akan belajar di bawah Kurikulum Myanmar.
Sejak dilancarkan pada 2021, kurikulum formal terbabit diperluaskan secara beransur-ansur, dengan gred tiga hingga lima dan gred 10 dibuka pada Ahad buat kali pertama di kem pelarian Cox’s Bazar, menyaksikan peluang pembelajaran untuk kanak-kanak pelbagai peringkat usia, menurut kenyataan itu.
“Kanak-kanak pelarian Rohingya ingin belajar, dan mengubah harapan dan impian mereka untuk masa depan yang lebih baik,” kata Sheldon Yett, wakil Unicef ke Bangladesh.
“Satu-satunya cara paling penting untuk memastikan kepulangan kanak-kanak ini dengan selamat dan bermaruah ke Myanmar ialah dengan memastikan mereka dapat meneruskan pendidikan mereka semasa berada di Bangladesh,” kata Yett.
“Saya menggesa rakan kongsi dan penderma untuk menyokong Unicef kerana kami menunaikan janji untuk menyediakan pendidikan untuk setiap kanak-kanak pelarian Rohingya.”
Pendidikan untuk kanak-kanak pelarian Rohingya disediakan melalui 3,400 pusat pembelajaran serta melalui kemudahan pembelajaran berasaskan komuniti, menurut Unicef.
Usaha menyokong remaja perempuan meneruskan pendidikan mereka adalah kunci kepada rekod kehadiran tahun ini, menurut kenyataan itu.
Disebabkan oleh norma sosial, ibu bapa sering keberatan untuk menghantar kanak-kanak perempuan ke sekolah apabila mereka mencapai usia akil baligh.
Oleh itu, Unicef dan rakan kongsinya bekerjasama rapat dengan komuniti pelarian untuk menunjukkan kepada ibu bapa faedah pendidikan untuk kanak-kanak perempuan, dengan menyediakan bilik darjah untuk remaja perempuan sahaja, dan dibantu oleh mentor wanita, menurut kenyataan itu. – Bernama, 25 Julai, 2023.
Komen