EU beri Facebook 2 minggu untuk jelaskan skandal data peribadi


Facebook kini berdepan tekanan perundangan selepas skandal manipulasi data oleh Cambridge Analytica terbongkar. Hari ini, dalam surat ditulis Pesuruhjaya Keadilan EU Vera Jourova kepada Ketua Pegawai Operasi Facebook Sheryl Sandberg memberikan 2 minggu untuk syarikat itu menjawab semua soalan yang timbul. – Gambar AFP, 27 Mac, 2018.

KESATUAN Eropah memberikan tempoh dua minggu kepada Facebook untuk menjawab soalan yang timbul susulan skandal manipulasi data rangkaian sosial itu, menurut sekeping surat yang dilihat AFP hari ini.

Surat ditulis oleh Pesuruhjaya Keadilan EU Vera Jourova yang dihantar kepada Ketua Pegawai Operasi Facebook Sheryl Sandberg juga bertanyakan apakah tindakan syarikat itu bagi menghalang kejadian sama berulang di masa hadapan.

“Saya hargai jawapan dalam tempoh dua minggu lagi,” kata surat itu.

“Adakah mana-mana data warga EU terjejas oleh skandal terbaru ini,” tulis Jourova menyenaraikan satu daripada lima soalan utama.

“Jika ia berlaku, adakah anda berhasrat memaklumkan pihak berkuasa dan pengguna mengenainya?” tanya Jourova.

Jourova juga bertanya jika undang-undang lebih ketat diperlukan untuk platform media sosial sepertimana perundangan sedia ada untuk media tradisional dan sama ada Facebook akan mengubah pendekatan mereka dalam aspek ketelusan kepada pengguna dan pihak berkuasa.

Pada sidang kemuncak di Brussels minggu lepas, pemimpin 28 buah negara EU membincangkan kejadian salah guna data Facebook oleh syarikat Britain, Cambridge Analytica yang memainkan peranan utama dalam kempen pilihan raya Donald Trump.

“Rangkaian sosial dan platform digital perlu memberikan jaminan amalan ketelusan dan melindungi sepenuhnya hak dan data peribadi warga,” kata kenyataan sidang kemuncak itu.

“Perundangan negara dan EU perlu dihormati dan dikuatkuasakan.”

Pemimpin EU akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut pada sidang kemuncak di Bulgaria Mei nanti.

Presiden Parlimen Eropah Antonio Tajani juga menjemput Ketua Facebook Mark Zuckerberg untuk berdepan badan itu mengenai kebimbangan susulan skandal manipulasi data itu. – AFP, 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen