Setiausaha agung Asean ucap tahniah kelancaran pilihan raya Kemboja 


SETIAUSAHA Agung Asean Dr Kao Kim Hourn mengucapkan tahniah kepada pegawai pilihan raya Kemboja atas kelancaran pilihan raya yang berlangsung pada Ahad.

Kao memantau proses pilihan raya yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) atas jemputan menteri yang ditugaskan oleh Perdana Menteri Kemboja Ouch Borith.

“Kami sangat berterima kasih atas peluang menyaksikan perjalanan demokrasi Kemboja pada zaman moden,” katanya, sambil menambah bahawa pengundian berlangsung secara aman, teratur dan tanpa keganasan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau turut mengucapkan tahniah kepada NEC atas sikap profesionalisme dan kecekapannya, serta kepada rakyat Kemboja atas penyertaan aktif dalam pilihan raya terbabit.

Sekretariat Asean (ASEC) adalah antara lebih 65 negara dan organisasi antarabangsa yang dijemput oleh Kemboja untuk memantau perjalanan pilihan raya umum tahun ini bagi mengekalkan ketelusan pilihan raya.

Semasa proses pilihan raya itu, Kao diiringi kakitangan ASEC, memantau proses pilihan raya, termasuk kempen pilihan raya, pembukaan dan penutupan pusat mengundi, dan pengundian di pusat mengundi yang berbeza.

Pada 21 Julai, pasukan itu turut memantau kempen yanng dijalankan oleh pelbagai parti politik di daerah Chamkar Morn, Meanchey dan Sen Sok.

Pada 23 Julai, pasukan itu memantau pembukaan pusat mengundi, pembuangan undi dan pengiraan undi di pusat mengundi terpilih di wilayah Phnom Penh dan Kandal.

Kemboja telah mengadakan pilihan raya sejak 1993, di bawah undang-undang pilihan raya kebangsaannya.

Sementara itu, NEC melaporkan 9.7 juta pemilih berdaftar bagi pilihan raya kali ini dan peratusan keluar mengundi adalah tinggi, iaitu sekitar 84.58 peratus membabitkan 23,789 pusat mengundi.

Sebanyak 18 parti politik yang layak bertanding merebut 125 kerusi di Parlimen Kemboja.– Bernama, 24 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen