POLIS sedang mengesan penjenayah yang meletakkan bom di bawah kereta aktivis peguam Siti Kasim minggu lepas, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Menurutnya polis sedang mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain yang berkaitan.
“Penemuan objek bom itu adalah satu jenayah serius dan ancaman terbabit umpama cubaan membunuh. Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.
Minggu lalu Siti melaporkan di media sosial bahawa objek yang menyerupai bahan letupan buatan sendiri ditemukan pada keretanya.
Peguam itu, menerusi siaran langsung di Facebook, berkata peranti itu ditemui ketika dia menghantar kenderaannya untuk diservis di Bangsar.
Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor mengesahkan peranti yang ditemui di bawah kereta Siti adalah bom. – 24 Julai, 2023.
Komen