PELAKSANAAN perjanjian bijirin tidak memenuhi matlamat sebenar bagi tujuan kemanusiaan, sebaliknya hanya digunakan untuk memperkaya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, lapor Sputnik memetik Presiden Russia Vladimir Putin.
Kenyataan Putin itu diperoleh daripada artikel tulisannya bertajuk “Russia and Africa: Joining Efforts for Peace, Progress and a Successful Future”, yang diterbitkan Kremlin hari ini.
Inisiatif Bijian Laut Hitam atau “perjanjian bijirin”, yang menyediakan koridor kemanusiaan untuk membenarkan eksport bijirin Ukraine sepanjang tahun lepas, tamat pada 18 Julai, susulan keengganan Russia untuk melanjutkan penyertaannya.
Moscow berulang kali mengkritik peruntukan perjanjian yang berkaitan dengan Russia, tidak dipenuhi.
“Ramai mungkin mendengar mengenai ‘perjanjian bijirin,’ yang tujuan awalnya untuk memastikan keterjaminan makanan dunia, mengurangkan ancaman kelaparan dan membantu negara-negara termiskin di Afrika, Asia dan Amerika Latin – yang mendorong Russia melaksanakan kewajipannya untuk memudahkan pelaksanaannya.
“Perjanjian ini yang dinyatakan secara terbuka oleh Barat untuk manfaat Afrika, sebaliknya hanya digunakan oleh perniagaan besar AS dan Eropah yang mengeksport dan menjual semula bijirin dari Ukraine itu,” kata Putin.
Presiden Russia itu menekankan dalam tempoh hampir setahun, sejumlah 32.8 juta tan (tan metrik) bekalan dieksport dari Ukraine di bawah perjanjian bijirin, dengan lebih 70% daripada eksport itu diperoleh negara berpendapatan tinggi dan pertengahan, manakala negara seperti Ethiopia, Sudan, Somalia, Yaman dan Afghanistan, hanya menerima kurang 3% bekalan.
“Dalam masa sama, tiada satu pun dalam peruntukan ‘perjanjian’ itu berpihak kepada Russia dari segi pengecualian sekatan eksport bijirin dan baja negara itu ke pasaran dunia,” tulis Putin.
Putin berkata halangan semakin meningkat ke atas usaha Russia untuk membekalkan baja mineral secara percuma kepada negara-negara termiskin yang memerlukannya.
“Daripada 262,000 tan barangan yang disekat di pelabuhan-pelabuhan Eropah, hanya dua penghantaran dibuat – 20,000 tan ke Malawi dan 34,000 tan ke Kenya. Selebihnya masih dipegang secara tidak bertanggungjawab oleh Eropah.
“Eksport itu merupakan inisiatif kemanusiaan semata-mata. Tidak ada gunanya lagi untuk meneruskan ‘perjanjian bijirin’ kerana ia gagal memenuhi matlamat asalnya untuk tujuan kemanusiaan,” katanya. – Bernama, 24 Julai, 2023.
Komen