Magis kepemimpinan menteri Menu Rahmah


G Manimaran

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam semalam. – Gambar Facebook, 24 Julai, 2023.

KETIKA sedang menyusun idea untuk mengisi ruang minggu ini, saya, seperti ramai rakan lain, telah dikejutkan dengan khabar sedih. Negara kehilangan seorang menteri dan wakil rakyat yang disegani lagi dihormati oleh rakyat pelbagai lapisan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub kembali ke rahmatullah.

Khabar ini datang ketika ramai menghantar dan berkongsi maklumat tidak sahih dan tidak disahkan mengenai keadaan beliau di media sosial. Tangan saya tidak bergerak dari telefon, terus memantau perkembangan apabila beberapa rakan saya telefon untuk mendapatkan pengesahan maklumat disebarkan.

Selang beberapa minit muncul laporan media yang menyatakan beliau sudah tidak bersama dengan kita.

Komen di media sosial dan perbualan dengan rakan-rakan menunjukkan pemergian beliau mengejutkan rakyat jelata.

Reaksi segera yang diterima menunjukkan beliau dihormati rakyat jelata tidak kira kaum dan agama. Beliau telah meninggalkan satu sifat kepemimpinan yang diterima semua.

Sudah pasti, Salahuddin, yang kembali menganggotai barisan Kabinet buat kali kedua menjadi perhatian rakyat menerusi program “Menu Rahmah” dan pelbagai pakej bantuan “Rahmah”, terutama untuk golongan B40.

Di bawah peringkat pertama sebagai anggota pentadbiran, beliau dilantik sebagai menteri yang menjaga hal ehwal berkaitan dengan pertanian dan hasil pertanian.

Sejak beberapa bulan lagi ada yang panggil beliau “menteri Menu Rahmah”. Dalam waktu yang singkat beliau meninggalkan identiti tersendiri dalam kalangan rakyat.

Saya kenali Allahyarham Salahuddin sejak beliau menjadi wakil rakyat Kubang Kerian, ketika itu mewakili PAS. Salahuddin kemudian keluar PAS untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan bertanding di Pulai, Johor dua kali dan menang dalam kedua-dua percubaan.

Sepanjang kenalan di dalam kapasiti sebagai wartawan dan selepas meninggalkan dunia kewartawanan, Salahuddin terus berinteraksi dalam pelbagai platform. Senyuman ikhlas beliau masih segar dalam minda saya.

Salahuddin mempamerkan kualiti yang diperlukan sebagai seorang pemimpin politik, wakil rakyat dan menteri. Saya melihat allahyarham mempunyai segala sifat dan ciri kepimpinan yang diperlukan rakyat dan negara pada hari ini, ketika rakyat terus diuji dengan pelbagai ragam kepimpinan yang sukar untuk diterima secara holistik dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Mungkin betul apa yang dikongsi Sim Tze Tzin, bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani dan ahli Parlimen Bayan Baru.

Beliau menggambarkan Salahuddin dengan tulisan berikut:“Sim, kamu tahu kenapa saya redha dan senang hati setiap hari? Setiap malam, sebelum saya tidur, saya maafkan semua musuh saya dan orang yang menyakitkan hati saya… barulah saya tidur. Ini ajaran bekas bos saya Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada saya. Beliau begitu baik hati dan peramah.”

Landskap politik akan mengingati Salahuddin sebagai antara personaliti yang diperlukan oleh negara dalam melahirkan persekitaran harmoni, konstruktif dan gemilang.

Kita perlu lahirkan lebih ramai pemimpin seperti Salahuddin. Kita memerlukan pemimpin dan wakil rakyat yang sanggup, mampu dan boleh menjaga kepentingan rakyat jelata, semua kaum dan agama, dan tidak kira masa. Boleh dihubungi, didekati dan didampingi bila-bila masa.

Kita memerlukan pemimpin yang berjiwa besar. Kita tidak memerlukan aktor politik yang hanya mengutamakan kepentingan politik singkat dan jangka pendek, dan menggugat kesejahteraan rakyat.

Dalam buku terbaharu yang bakal berada di pasaran, “Menjuarai Pilihan Raya, Magis Kepimpinan…”, tulisan saya bersama Profesor Dr Syed Arab Idid, kami ada gariskan sifat dan ciri kepimpinan mantan ketua menteri (kini premier) Sarawak Adenan Satem.

Kepemimpinan beliau dalam waktu singkat, yang merangkumi pelbagai aspek dan sudut kepentingan rakyat, telah membolehkan allahyarham memikat hati pengundi dan mencipta sejarah dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak pada 2016.

Adenan memperlihatkan keunikan tersendiri yang diperlukan Sarawak dan Malaysia. Ringkasnya Adenan memperlihatkan satu kualiti kepimpinan yang harus ada pada diri seorang pemimpin, dan ciri itu termasuklah dalam karakter yang pernah ditonjolkan pemimpin terulung dalam dan luar negara.

Cicero dalam bukunya “How to win an election: An ancient guide for modern politicians”, berkongsi surat yang ditulis oleh Marcus Tullius Cicero, orator Rom kuno terhebat, pada tahun 64 SM kepada abangnya Marcus Cicero, yang bertanding jawatan konsul (pejabat tertinggi di Republik).

Marcus menyebut, “Ada tiga perkara yang akan menjamin sokongan dalam pilihan raya: Galakan atau sokongan, harapan dan keterikatan peribadi. Tambah Cicero, “anda mesti berusaha menyediakan ciri ini kepada kumpulan sasaran”.

Hasil kandungan daripada surat itu, Cicero merumuskan 10 perkara yang setiap pemimpin politik perlu amalkan untuk memenangi pilihan raya.

Pemergian Salahuddin ketika negara memerlukan barisan kepimpinan yang berhemah dan dapat diterima oleh semua rakyat, tidak kira agama dan kaum, merupakan satu kerugian besar.

Kita meletakkan harapan, Tuhan lebih berkuasa yang akan menentukan. Kita perlu teruskan perjuangan melahirkan amalan politik yang membina bagi Malaysia, bukan sebaliknya.

Salam takziah kepada keluarga Salahuddin dan semua kenalan allahyarham. – 24 Julai, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen