Kebakaran hutan, ribuan pelancong dikeluarkan dari pulau Rhodes


Ratusan pelancong memenuhi lapangan terbang antarabangsa Rhodes, dengan ada yang tidur di atas tuala masing-masing ketika menunggu penerbangan untuk keluar dari pulau itu. – Gambar AFP, 24 Julai, 2023.

PULUHAN ribu orang ramai di pulau Rhodes di Greece terpaksa dipindahkan keluar semalam susulan kebakaran hutan.

Laporan menyatakan beberapa kebakaran hutan berlaku di Corfu, satu lagi pulau popular di Greece, dengan operasi memindahkan mangsa dilakukan melalui jalan darat dan laut.

Di Rhodes, pasukan bomba dikerahkan memadamkan api yang tercetus pada musim kemuncak pelancongan, menjadikan operasi menyelamat kebakaran itu paling besar pernah dilancarkan – sekali gus menyebabkan penerbangan dan percutian dibatalkan.

Ratusan pelancong memenuhi lapangan terbang antarabangsa Rhodes, dengan ada yang tidur di atas tuala masing-masing ketika menunggu penerbangan untuk keluar dari pulau itu.

Seorang pelancong, Kelly Squirrel berkata dia ternampak api dari kolam renang dan kemudiannya terus berlari ke pantai selepas diarahkan untuk meninggalkan kawasan itu.

“Kami berjalan kaki kira-kira enam jam dalam keadaan sangat panas untuk melepaskan diri,” katanya.

Rhodes adalah destinasi percutian paling popular terutama dalam kalangan rakyat Britain, Jerman dan Perancis. – AFP, 24 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen