JENAZAH Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada kira-kira 2.30 pagi tadi.
Jenazah beliau diiringi isterinya Fatimah Taha serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat antara individu yang dilihat menyambut ketibaan jenazah allahyarham.
Van membawa jenazah Salahuddin kemudian diiringi beberapa kenderaan Polis Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk ke kediaman ibunya Aminah Abdullah, 83, di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai di Pontian.
Selepas itu, allahyarham yang merupakan anak jati Tanjung Piai, akan dibawa ke kediaman beliau di Jalan Adil sebelum ke Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di Serkat.
Suasana hiba dapat dirasai dengan kehadiran ahli keluarga dan sahabat handai yang mula berkumpul di rumah ibu allahyarham sejak 12 tengah malam tadi.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak. – Bernama, 24 Julai, 2023.
Komen