UiTM terima 10 peranti Starlink, kata Fahmi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata UiTM akan menerima 10 peranti satelit Starlink bagi mempertingkat kualiti Internet di kampus cawangannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2023.

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) akan menerima 10 peranti satelit Starlink dalam usaha kerajaan mempertingkat kualiti perkhidmatan Internet di kampus cawangannya, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata berdasarkan penelitian pihaknya, antara cawangan yang berpotensi menerima peranti itu dalam masa terdekat adalah kampus Kuala Pilah di Negeri Sembilan susulan perbincangan bersama Naib Canselor UiTM Profesor Dr Roziah Janor.

“Bila Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sebut mengenai penyelesaian Internet dengan menggunakan Starlink, saya percaya bagi UiTM, ada beberapa kampusnya yang mungkin boleh memanfaatkan penggunaan peranti ini terutama di Kuala Pilah, Perak, Tawau dan Sarawak.

“Saya harap dalam minggu ini, kita akan terima sekurang-kurangnya 10 unit Starlink dan saya akan bincang dengan Pejabat Perdana Menteri untuk proses penyerahan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau capaian Internet di UiTM Shah Alam hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook pada Khamis lalu, Fahmi memaklumkan Starlink akan memulakan perkhidmatan menyediakan Internet di institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah terlebih dahulu sebagaimana yang diumumkan oleh Anwar sebelum ini.

Pada 15 Julai lalu, perdana menteri berkata kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti satelit Starlink di IPT untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet agar lebih luas dan pantas di kampus bagi memudahkan proses pembelajaran.

Anwar berkata, perkara itu tercetus hasil persidangan video secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX Elon Musk baru-baru ini. – Bernama, 23 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen