Kerajaan akan bantu mereka yang terjejas susulan pembatalan FGV, kata Fahmi


Fahmi Fadzil dimaklumkan artis tempatan belum menerima bayaran bagi penyertaan mereka pada Festival Good Vibes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2023.

SEBUAH agensi kerajaan akan membantu artis dan penjual makanan tempatan yang terjejas akibat pembatalan Festival Good Vibes (FGV) secara serta merta, lapor Free Malaysia Today.

Ia memetik Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai berkata, MyCreative Ventures akan mengumumkan bantuan untuk mereka yang terjejas.

“MyCreative Ventures sudah pun menghubungi (pihak yang terbabit) untuk melihat jenis bantuan yang boleh mereka berikan, terutama bagi penjual makanan dan artis tempatan.

“Saya juga memaklumkan kepada mereka untuk mengumumkan bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.

“Saya diberitahu artis antarabangsa kebanyakannya sudah dibayar, tetapi artis tempatan belum menerima bayaran mereka,” katanya dipetik sebagai berkata.

MyCreative Ventures adalah cabang pelaburan kerajaan yang bertujuan menyokong industri kreatif Malaysia melalui pembiayaan strategik dan inovatif.

Festival itu dibatalkan oleh Fahmi berikutan insiden kontroversi membabitkan band UK The 1975, yang kini disenaraihitamkan daripada membuat persembahan di Malaysia. – 23 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen