Laluan jalan ke Forest City runtuh


Keadaan laluan sepanjang 25 meter Forest City-Lebuhraya Tanjung Pelepas yang runtuh hari ini. – Gambar Twitter, 23 Julai, 2023.

JALAN sepanjang 25 meter antara Forest City dan Lebuhraya Tanjung Pelepas runtuh hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Hairulnizam Mohd Noh berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.09 petang.

“Tujuh anggota bomba digegaskan ke tempat kejadian dan sebaik tiba mendapati kira-kira 25m jalan utama dan jambatan runtuh.

“Sebaik sahaja kami mengesahkan kawasan itu selamat, kami menyerahkan perkara itu kepada polis untuk kawalan lalu lintas di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Rahmat Ariffin berkata tiada kecederaan dilaporkan.

Dalam satu kenyataan, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) berkata kakitangan projek Forest City dan kakitangan teknikalnya yang berkaitan bergegas ke tempat kejadian untuk tindakan kecemasan.

“Forest City segera menghubungi jabatan kerajaan yang berkaitan untuk pengurusan halangan dan siasatan punca.

“Forest City akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap keseluruhan jambatan dan akan bekerjasama secara aktif dengan jabatan kerajaan untuk melaksanakan tindakan dan prosedur yang perlu bagi memastikan keselamatan pengguna,” katanya. – 23 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen