Kes jenayah 6 bulan pertama meningkat di Jepun


Terdapat 333,003 kes jenayah dalam tempoh Januari-Jun di Jepun, mewakili peningkatan ketara 21.1% daripada tahun sebelumnya. – Gambar fail AFP, 23 Julai, 2023.

KADAR kes jenayah di Jepun pada separuh pertama 2023 meningkat lebih 20% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, lapor agensi berita Xinhua, berdasarkan data terkini polis.

Terdapat sejumlah 333,003 kes jenayah dalam tempoh Januari-Jun, mewakili peningkatan ketara 21.1% daripada tahun sebelumnya, menurut agensi polis negara dalam laporan baru-baru ini.

Ia menandakan kali pertama dalam tempoh 21 tahun jumlah jenayah menyaksikan peningkatan pada asas Januari-Jun, menurut laporan itu, sambil menambah peningkatan aktiviti jenayah mengikuti trend sama yang diperhatikan pada 2022 apabila Jepun merekodkan lebih banyak jenayah buat kali pertama dalam 20 tahun.

Lonjakan itu sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan jenayah jalanan dan pecah masuk, yang berlaku berikutan sekatan Covid-19 yang dilonggarkan, menurut laporan yang dikeluarkan pada Rabu.

Jenayah jalanan, termasuk kejadian seperti kecurian basikal, menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 29.7% berbanding tahun sebelumnya sehingga mencecah 110,744 kes.

Sementara itu, pecah masuk meningkat 28.0% kepada 27,741 kes dan rompakan menyaksikan lonjakan ketara sebanyak 23.8% berbanding tahun sebelumnya dengan 228,889 kes.

Agensi itu menangani kebimbangan mengenai keselamatan awam yang merosot akibat peningkatan kes jenayah. – Bernama, 23 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen