SELEPAS penemuan “tidak sengaja” seorang pengundi berusia 150 tahun yang masih dalam daftar pemilih di kawasan Parlimen Miri, siasatan mendalam PKR Sarawak mendapati terdapat 146 pengundi berusia atas 95 tahun dan 113 lagi berusia atas 100 tahun.
“Paling tua kami jumpa berusia 116 tahun,” dedah Timbalan Ketua Pemuda Jeffery Mok Hui Chung di Kuching hari ini.
Mok berkata beliau melakukan pencarian itu hujung minggu lepas selepas partinya dimaklumkan kewujudan seorang pengundi berdaftar dengan nama Mohd Said Mohd Arshad yang dilahirkan pada 1 Januari 1868 masih berada dalam daftar pemilih.
Mok berkata soalan yang paling layak ditanya sekarang adalah “apakah status semua pengundi ini?”.
“Adakah mereka masih hidup?” tanya Mok lagi yang juga mengakui mereka masih belum melawat semua pengundi yang diragukan itu.
“Kami tidak mencabar ketulenan kelayakan semua pengundi ini tetapi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) perlu mengadakan saringan teliti daftar pemilih sebelum pilihan raya umum akan datang bagi memastikan proses pemilihan bersih”. – 27 Mac, 2018.
Komen