Dilema doktor kontrak terima arahan pindah untuk jawatan tetap


Antara 6 hingga 24 Jun tahun ini, 4,154 doktor, 329 doktor gigi dan 304 ahli farmasi memohon untuk penempatan jawatan tetap menerusi sistem penempatan kementerian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2023.

PEKERJA kesihatan kontrak diberi amaran bahawa kegagalan menerima arahan pemindahan boleh menyebabkan mereka tidak ditawarkan jawatan tetap, lapor The Star Online.

Laporan menyebut syarat diberikan kepad pekerja kontrak oleh Kementerian Kesihatan itu adalah berdasarkan pembentangan kementerian bertarikh 20 Julai lepas.

Pembentangan menunjukkan antara 6 hingga 24 Jun tahun ini, 4,154 doktor, 329 doktor gigi dan 304 ahli farmasi memohon untuk penempatan jawatan tetap menerusi sistem penempatan kementerian.

The Star turut melaporkan yang daripada jumlah itu 101 doktor kontrak, empat doktor gigi dan lapan ahli farmasi memilih untuk menolak penempatan baharu mereka.

Mereka yang menerima jawatan tetap di penempatan baharu sudah dipindahkan ke fasiliti kesihatan masing-masing dan mula melapor diri bermula 31 Julai ini.

Beberapa pekerja kesihatan juga membuat aduan kerana dihantar ke Sabah dan Sarawak dengan notis singkat dan merayu untuk ditempatkan di kawasan berhampiran mereka sekarang.

Pembentangan KKM itu bagaimanapun memberi amaran yang kegagalan menerima penempatan baharu boleh menyebabkan tawaran jawatan tetap mereka dibatalkan.

“Pegawai tersebut akan kekal sebagai lantikan kontrak. Mereka tidak layak untuk jawatan tetap pada masa hadapan,” katanya.

Pada 24 Jun lepas, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata terdapat 4,914 kekosongan dalam sektor kesihatan awam pada tahun ini. Daripada jumlah itu, 4,263 adalah untuk doktor kontrak, 335 untuk doktor gigi dan 316 untuk ahli farmasi.

Tiada elaun perpindahan

Ada juga lain dalam tawaran penempatan diberikan kepada pekerja kesihatan kontrak.

Mereka diminta untuk berpindah tanpa diberikan sebarang elaun perpindahan yang sudah dihentikan.

Surat daripada kementerian menunjukkan pekerja kontrak yang diserap ke dalam jawatan tetap tidak layak untuk elaun perpindahan.

Ini kerana perkhidmatan mereka akan “dipotong” kerana mereka beralih daripada lantikan kontrak kepada lantikan tetap, lapor The Star Online lagi.

Kesannya ramai pekerja kesihatan kontrak ini terbeban untuk membiayai pemindahan ke penempatan baharu terutama mereka yang diarah pindah ke Sabah dan Sarawak.

Akhbar itu yang memetik sumber berkata kebanyakan doktor tidak mahu berkhidmat di Sabah atau Sarawak kerana pelbagai sebab termasuk tidak mahu berjauhan daripada keluarga, tanggungjawab sebagai penjaga kesihatan keluarga dan mahu meneruskan latihan kepakaran mereka. – 23 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen