Ketua PBB gesa Guatemala hormati kehendak pengundi


PBB mahu Guatemala menghormati kehendak pengundi dalam pengundian yang bebas dan adil. – Gambar AFP, 23 Julai 2023.

SETIAUSAHA agung PBB semalam menyuarakan kebimbangan besar mengenai pilihan raya di Guatemala dan menyeru negara Amerika Tengah itu supaya menghormati kehendak pengundi dalam pengundian yang bebas dan adil.

Penduduk Guatemala akan keluar mengundi pada 20 Ogos untuk pilihan raya presiden.

Satu kenyataan ringkas bagi pihak setiausaha agung Antonio Guterres menyeru pihak berkuasa Guatemala menghormati hak asasi manusia penduduknya termasuk hak untuk mengundi pada pilihan raya yang menjamin kebebasan menyatakan kehendak pemilih.

Pengundi katanya harus dilindungi daripada sebarang bentuk paksaan dan sebarang gangguan yang menyalahi undang-undang atau sewenang-wenangnya terhadap proses pengundian.

Dalam pilihan raya pusingan pertama pada Jun, Guatemala menghantar dua calon berhaluan kiri ke pusingan kedua menandakan kali pertama negara itu akan mempunyai pemimpin berhaluan kiri dalam lebih sedekad.

Tetapi sejak itu seorang pendakwa berusaha untuk menggantung parti salah seorang calon Bernardo Arevalo dan ejen negara pada hari Jumaat menyerbu pejabat partinya yang didakwa mendapatkan dokumen yang menunjukkan penyelewengan dalam pembentukannya.

Ketibaan mengejutkan Arevalo dalam pusingan kedua mendatangkan masalah kepada parti sayap kanan dan membawa kepada usaha untuk menghalang proses pilihan raya.

Guterres berkata negara anggota PBB bertanggungjawab memastikan pilihan raya yang telus, bebas dan adil, bebas daripada intimidasi dan paksaan.

Arevalo yang merupakan anak kepada bekas presiden reformis menduduki tempat kedua di belakang Sandra Torres, bekas wanita pertama yang mengetuai parti demokrasi sosial.

Usaha untuk melucutkan kelayakan Parti Semilla mendapat teguran keras daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. – AFP, 23 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen