EMPAT orang di Kanada termasuk dua kanak-kanak dilaporkan hilang semalam dalam banjir akibat hujan lebat di Nova Scotia, kata polis.
Kanak-kanak itu berada di dalam kereta yang ditenggelami air, kata polis. Tiga lagi yang lain berjaya melarikan diri.
Dalam kejadian berasingan di wilayah timur, dua orang dilaporkan hilang, kata agensi polis itu.
Hujan lebat yang melanda sejak Jumaat di Nova Scotia menyebabkan jalan raya terputus hubungan dan rumah ditenggelami air.
Perdana Menteri Tim Houston berkata wilayah itu dilanda kira-kira 25cm hujan iaitu bersamaan dengan hujan selama tiga bulan dalam masa kurang daripada 24 jam.
Houston mengisytiharkan darurat di beberapa kawasan di wilayah itu dan menggesa penduduk supaya tidak menyertai operasi pencarian mangsa yang hilang kerana keadaan masih berbahaya.”
Beliau menganggarkan bahawa ia akan mengambil masa beberapa hari untuk air surut.
Orang ramai di wilayah Windsor mendapat arahan pemindahan pada tengah malam kerana bahaya akan menyebabkan empangan pecah.
Tetapi injap pelega dibuka awal semalam untuk mengurangkan tekanan dan keadaan kini terkawal, kata Datuk Bandar Windsor Abraham Zebian.
Rakaman berita dan imej di media sosial menunjukkan jalan raya yang kelihatan seperti sungai dan banyak kereta terbiar di dalam air.
Perkhidmatan cuaca alam sekitar Kanada berkata hujan lebat dijangkakan sehingga petang di bahagian timur wilayah itu. – AFP, 23 Julai 2023.
Komen