MENTERI besar sementara Selangor, Amirudin Shari akan mengetuai Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu dengan penyandang ADUN Sungai Tua itu akan mempertahankan kerusinya, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata, Amirudin akan kekal sebagai pilihan PH untuk jawatan menteri besar.
Ketika mengumumkan senarai calon, Anwar berkata penyandang menteri besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan kekal sebagai pilihan PH bagi jawatan itu.
Katanya, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan prestasi pemimpin dan populariti mereka dalam kalangan rakyat.
“Amirudin adalah antara MB yang berjaya di negara ini.
“PKR juga mengalu-alukan keputusan (DAP) untuk Chow dilantik sebagai ketua menteri kerana prestasinya,” kata Anwar.
Beliau berkata, kekuatan PKR bukan semata-mata terletak kepada beliau dan pucuk pimpinan parti tetapi juga kekuatan kepimpinan negeri.
Anwar malam ini mengumumkan nama 20 calon PKR yang akan bertanding.
Penyanyi rap Altimet, dengan nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, akan diletakkan sebagai calon di Lembah Jaya.
Bagaimanapun, Adun Bukit Lanjan tiga penggal Elizabeth Wong digugurkan sebagai calon dan akan digantikan oleh Phua Pei Lei.
Exco Hee Loy Sian yang juga Adun Kajang digugurkan dengan David Cheong menggantikannya.
Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dipindahkan ke kerusi Hulu Kelang dengan penyandangnya Saari Sungib bersara daripada politik.
Kerusi Juwairiya di Bukit Melawati kini akan ditandingi ketua PKR Hulu Selangor, Thiban Subramaniam.
Najwan Halimi, yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini berhubung kenyataan perkauman, dikekalkan sebagai calon Kota Anggerik.
Hari penamaan calon bagi enam PRN dijadualkan berlangsung pada 29 Julai dan pengundian pada 12 Ogos.
Berikut adalah senarai penuh calon PKR yang bertanding di Selangor:
N09 Permatang: Mohd Yahya Mat Sahri
N10 Bukit Melawati: Thiban Subramaniam
N11 Ijok: Amidi Abdul Manan
N14 Rawang: Chua Wei Kiat
N16 Sungai Tua: Amirudin Shari
N18 Hulu Kelang: Juwairiya Zulkifli
N19 Bukit Antarabangsa: Mohd Kamri Kamaruddin
N20 Lembah Jaya: Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet)
N25 Kajang: David Cheong
N32 Seri Setia: Fahmi Ngah
N33 Taman Medan: Ahmad Akhir Paw
N37 Bukit Lanjan: Phua Pei Lei
N38 Paya Jaras: Khairuddin Othman
N39 Kota Damansara: Amin bin Yazid
N40 Kota Anggerik: Najwan Halimi
N43 Sementa: Erni Afrishah Azizi
N46 Pelabuhan Klang: Azmizam Zaman Huri
N48 Sentosa: Gunarajah R George
N49 Sungai Kandis: Zawawi Ahmad Mughni
N54 Tanjong Sepat: Borhan Aman Shah
– 23 Julai, 2023.
Komen