Polis Selangor terima 3 laporan mengenai The 1975


POLIS menerima tiga laporan berhubung kelakuan dan kenyataan biadab kumpulan dari United Kingdom, The 1975 di Festival Good Vibes 2023, hari ini.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata ketiga-tiga laporan itu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Justeru itu, polis menjalankan siasatan dengan memanggil pihak terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata polis juga menyokong penuh keputusan Kementerian Komunikasi dan Digital dan Majlis Perbandaran Sepang untuk membatalkan festival itu serta-merta atas faktor keselamatan.

Terdahulu, persembahan kumpulan The 1975 dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor pada Jumaat.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki hingga esok dibatalkan serta-merta.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Fahmi berkata pendirian kerajaan jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia. – Bernama, 22 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen