7 rakyat Malaysia selamat kapal pelancong karam


SEKUMPULAN tujuh pelancong Malaysia dilaporkan selamat selepas kapal yang mereka naiki karam di Manggarai Barat, Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada Sabtu.

Insiden berlaku pada jam 11.45 pagi waktu Indonesia tengah membabitkan sebuah kapal jenis Phinisi di perairan Pantai Pink, Pulau Komodo, Labuan Bajo.

Kapal terbabit dilaporkan berlayar dari Manta Point menuju Pantai Pink sebelum mengalami masalah enjin lalu tenggelam dalam pusaran air semasa ditunda oleh sebuah kapal lain.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan semua mangsa yang terbabit selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Semua mangsa dibawa ke hospital,” menurut kedutaan dalam satu kenyataan.

Pihak kedutaan juga berhubung rapat dengan mangsa serta pihak berkuasa tempatan dan memberikan bantuan konsular sewajarnya menerusi talian +62813-8081-3036. – Bernama, 22 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen