JDT pertahan kejuaraan Piala FA


Pemain JDT meraikan kejayaan menewaskan Kuala Lumpur City untuk muncul juara Piala FA musim ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. – Gambar Facebook Johor Southern Tigers, 22 Julai, 2023.

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas menewaskan Kuala Lumpur City 2-0 pada final yang julung kali diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini.

Ia kali ketiga skuad Harimau Selatan bergelar juara selepas memenanginya pada 2016 dan musim lalu, namun tahun ini lebih bermakna apabila melakukannya di laman sendiri disaksikan 33,598 penonton.

Pemain tengah Nathaniel Shio Hong Wan dan penyerang import dari Argentina, Leandro Velazquez masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk membantu skuad bimbingan Esteban Solari menjulang Piala FA edisi ke-32.

Taktikal bertahan digunakan pengendali KL City, Bojan Hodak berhasil mengekang JDT daripada melakukan gerakan proaktif dan percubaan berbahaya sehingga perlawanan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, pada awal permainan KL City mensia-siakan peluang keemasan pada minit ke-16 apabila sepakan percuma Paulo Josue yang tepat ke kaki Matko Zirdum gagal disudahkan dari jarak dekat, menyaksikan percubaan pemain pertahanan itu tepat ke penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

JDT turut dinafikan daripada mendahului perlawanan selepas penjaga gol Kevin Ray Mendoza bertindak cemerlang menyelamatkan rembatan padu dari luar kotak penalti pemain tengah Mohd Afiq Fazail yang menyaksikan bola hanya menggegar palang pada minit ke-27.

Pemain tengah JDT Nathaniel Shio Hong Wan meraikan gol pertama pasukannya ketika menewaskan KL City 2-0 pada final Piala FA di Iskandar Puteri malam ini. – Gambar Facebook Malaysia Football League, 22 Julai, 2023.

Penyerang muda skuad Warga Kota, T Saravanan turut memiliki peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-36 selepas berjaya melepasi kawalan Matthew Davies dalam kotak penalti ketika menyambut hantaran lintang Romel Morales, namun bola dari rembatan kaki kirinya gagal tepat ke gawang.

Selepas rehat, intensiti permainan separuh masa pertama berterusan sehingga Hong Wan memecah kebuntuan pada minit ke-66 menerusi rembatan kaki kanan dari jarak kira-kira 25 meter yang menuju tepat ke bucu kanan gawang, terkena tiang dan masuk menggegar jaring menewaskan Mendoza.

Jaringan itu memaksa KL City mengubah rentak dengan bermain secara lebih terbuka dan kesempatan itu digunakan JDT untuk menekan lawan sebelum Velazquez memanfaatkan kesilapan Kamal Azizi Zabri dan Sebastian Avanzini yang teragak-agak mengeluarkan bola.

Velazquez bijak menghidu ruang dan kesempatan untuk mencuri bola di tengah-tengah Kamal dan Avanzini sebelum melepaskan rembatan yang gagal ditangkap Mendoza sekali gus meletakkan JDT selesa mendahului 2-0 pada minit ke-74.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin dan JDT merangkul kejuaraan domestik pertama mereka musim ini selepas memenangi Perlawanan Sumbangsih menentang Terengganu FC di sini, Februari lalu.

Kemenangan malam ini turut melebarkan rekod tanpa kalah JDT dalam mana-mana pertandingan domestik musim ini dengan berjaya mencatat 17 kemenangan berturut-turut dalam kempen Liga Super. – Bernama, 22 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen