EMPAT mayat dipercayai antara lapan kru kapal MV Tung Sung, yang terbalik di perairan Pulau Burung di Sebuyau, Sarawak Rabu lalu, ditemukan hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata identiti mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti.
Beliau berkata pada jam 1.15 tengah hari tadi, pihaknya menerima laporan daripada nelayan yang mengesan tiga mayat terapung pada jarak kira-kira 15 batu nautika timur laut dari Pulau Burung.
Berdasarkan maklumat itu, katanya Maritim menggerakkan kapal KM Kota Kinabalu ke lokasi dan melaksanakan pengambilan ketiga-tiga mayat itu.
“Manakala sekitar jam 5.20 petang tadi, ketika meneruskan rondaan KM Kota Kinabalu menemui satu lagi mayat di dalam sektor pencarian,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Beliau berkata semua mayat ditemukan tidak memakai jaket keselamatan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak.
Lapan kru yang hilang berumur dalam lingkungan 20 hingga 52 tahun dengan tiga daripadanya warga tempatan dari Sibu yang dikenali sebagai Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Anak Chuit.
Empat lagi mangsa adalah warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo dan seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto. – Bernama, 22 Julai, 2023.
Komen