PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan berbincang dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagaimana syarat semasa untuk Bahasa Tamil diajar sebagai bahasa tambahan di sekolah menengah, boleh dilonggarkan.
Ketika berucap melancarkan persidangan penyelidikan Tamil antarabangsa ke-11 di Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini, Anwar berkata syarat minimum semasa adalah perlu ada 15 pelajar untuk sebuah kelas Bahasa Tamil diadakan.
“Saya akan beritahu dan mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk melakukan pelarasan diperlukan walaupun jika kita tetapkan syarat (angka) kepada 10, kita harus membenarkan sembilan atau 11 pelajar juga.
“(Ini juga) untuk memberi peluang kepada pelajar menguasai bahasa tambahan. Dalam sekolah di seluruh dunia, seperti di Amerika Syarikat dan China, orang ramai menggalakkan pelajar untuk menguasai dua atau lebih bahasa yang bermakna dalam konteks ini pelajar India, menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Tamil. Saya fikir ia akan memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk mempunyai pelajar yang menguasai lebih banyak bahasa,” katanya.
Turut hadir pengerusi bersama persidangan itu V Sivakumar yang juga Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan.
Walaupun Dasar Pendidikan Kebangsaan mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa itu, Anwar berkata pada masa sama pelajar juga digalakkan mempelajari bahasa tambahan di sekolah menengah.
Beliau berkata wujud set minda lama dalam kalangan ramai rakyat Malaysia termasuk Melayu mereka harus takut kepada usaha mempromosi bahasa lain di sekolah menengah, termasuk Bahasa Cina.
“Mereka nampaknya tidak menghiraukan menguasai bahasa kedua atau ketiga adalah satu keperluan.
“Boleh anda bayangkan Malaysia Baharu wujud kemahiran dalam bahasa kebangsaan, dengan pelajar menguasai Bahasa Inggeris dan sebahagian besar mereka juga menguasai Bahasa Tamil, Cina dan Arab,” katanya.
Perdana menteri berkata menguasai pelbagai bahasa adalah kekuatan Malaysia kerana hanya beberapa negara yang mempunyai tahap kecekapan seperti itu, sambil menambah ini sepatutnya membuatkan rakyat Malaysia berasa bangga.
Anwar juga mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta untuk Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya dan RM2 juta lagi untuk Kementerian Pendidikan melihat semula keadaan pendidikan Tamil di sekolah menengah.
Peruntukan ini, katanya sebagai menghormati persidangan penyelidikan Tamil antarabangsa ke-11 hari ini.
Persidangan yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Penyelidikan Tamil Antarabangsa (IATR), Universiti Malaya dan Yayasan OMS, menghimpunkan lebih 3,000 penyelidik dan cendekiawan Tamil dari lebih 50 negara. – Bernama, 22 Julai, 2023.
Komen