Usaha dapatkan semula 600 kontena kapal karam di Taiwan


Kira-kira 600 kontena terapung-apung di laut apabila sebuah kapal karam di pelabuhan Kaohsiung, Taiwan pada Jumaat. – Gambar Taiwan English News, 22 Julai, 2023.

USAHA untuk mendapatkan semula kira-kira 600 kontena yang jatuh ke dalam laut selepas kapal karam di pelabuhan Kaohsiung giat dilakukan pada Sabtu, menurut Taiwan International Ports Company cawangan Kaohsiung.

Syarikat itu memaklumkan mereka bekerjasama dengan kerajaan bandar Kaohsiung, pentadbiran pengawal pantai, biro pelabuhan Kaohsiung dan agensi perikanan.

Sebanyak 17 kapal dihantar pada Sabtu untuk mendapatkan semula kontena terbabit, yang kebanyakannya dilihat terapung di perairan di kawasan Linyuan dan daerah Donggang, lapor agensi berita CNA.

Walaupun dijangka mengambil empat hingga lima hari untuk mengeluarkan semua kontena, kemajuan bergantung kepada keadaan laut, menurut syarikat itu yang menghantar 39 bot sejak 20 Julai, selepas kapten kapal Angel mengeluarkan isyarat kecemasan.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari Sabtu, hanya 26 kontena berjaya diperoleh semula.

Terdapat laporan mengenai kontena lain menghalang bot nelayan tempatan dan merosakkan peralatan menangkap ikan.

Kapal Angel, pada mulanya berlabuh kira-kira 5 kilometer dari pantai pada 4 Julai, mula dinaiki air pada 20 Julai, sebelum kapten memutuskan semua 19 anak kapal meninggalkan kapal menggunakan bot keselamatan.

Kapal itu tenggelam sekitar tengah malam hari berikutnya, menurut syarikat itu. – Bernama, 22 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen