Penyanyi band gagal patuhi garis panduan, kata penganjur


Penganjur Festival Good Vibes berkata tingkah laku tidak profesional Matt Healy melanggar undang-undang dan peraturan mengecewakan serta mengejutkan mereka. – Gambar Facebook, 22 Julai 2023.

FUTURE Sound Asia (FSA), penganjur Festival Good Vibes (GVF) kecewa selepas kumpulan muzik The 1975 memungkiri janji untuk mematuhi garis panduan persembahan tempatan.

Pengasas dan pengarah FSA Ben Law memohon maaf kepada pemegang tiket, vendor, penaja dan rakan kongsi yang terbabit dengan festival itu yang dibatalkan selepas persembahan biadab daripada vokalis kumpulan itu Matt Healy.

“Sebelum festival itu, (kumpulan muzik British) pengurusan The 1975 meyakinkan kami Healy dan kumpulan itu akan mematuhi garis panduan persembahan tempatan.

“Malangnya, Healy tidak menghormati semua ini, walaupun kami mempercayai komitmen mereka.

“Tindakannya mengejutkan kami dan kami menghentikan persembahan secepat mungkin berikutan insiden itu.

“Tingkah laku Healy yang tidak profesional dan melanggar undang-undang dan peraturan mengganggu dan dia memilih untuk menggunakan persembahannya sebagai platform untuk menyatakan pandangan peribadinya, daripada menyampaikan persembahan berkualiti yang dinanti-nantikan peminatnya.

“Tindakan ini tidak adil kepada peminat yang tidak sabar untuk menikmati pengalaman muzik yang tidak dapat dilupakan,” kata Law dipetik The New Straits Times dalam laporan hari ini.

Law berkata syarikat itu akan memberitahu pemegang tiket mengenai bayaran balik secepat mungkin.

“Sejak 10 tahun lalu, kami membina GVF untuk menjadi platform Malaysia yang unik bagi pengalaman muzik yang menyeronokkan.

“Festival ini bukan francais boleh dipindah milik, tetapi jenama yang dibina dari bawah, diusahakan oleh dedikasi, daya tahan dan risiko kewangan.

“Kini, usaha gigih selama sedekad ini terjejas disebabkan oleh tindakan seorang individu.

“Ini masa yang amat mencabar bagi kami. Pembatalan GVF memberi tamparan kewangan yang besar kepada FSA.

“Bagaimanapun, kesan daripada kejadian ini lebih daripada itu.

“Kami bimbang ia akan menghakis keyakinan penganjur muzik dan pihak berkepentingan dalam industri hiburan secara langsung di negara ini dan mengancam persada seni langsung kami yang semakin berkembang,” katanya dipetik sebagai berkata. – 22 Julai, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen