FESTIVAL musik Good Vibes yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari dibatalkan serta merta oleh kerajaan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas kontroversi tindakan biadap kumpulan muzik UK The 1975 pada Jumaat yang melanggar undang-undang Malaysia.
“Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
“Justeru, saya telah mengarahkan pembatalan serta merta baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook selepas pertemuan dengan penganjur festival Future Sound Asia, hari ini.
Festival muzik tiga hari itu yang bermula semalam (21 Jun) hingga 23 Julai ini dijadualkan untuk mempamerkan lebih 40 persembahan yang menggabungkan artis antarabangsa dan tempatan.
Persembahan kumpulan British ‘The 1975’ itu mendapat kecaman selepas vokalisnya Matt Healy mengeluarkan kata-kata kata-kata yang menghina kerajaan.
Ketika membuat persembahan, nyanyi kumpulan itu Matt Healy memegang sebotol wain, menyalakan rokok dan meludah di atas pentas.
Dia turut menyampaikan ucapan ringkas yang mengandungi kata-kata penghinaan yang ditujukan kepada kerajaan.
Dia mencium pemain gitar lelakinya selepas membuat ucapan dan meneruskan persembahan dua lagu terakhir pada malam itu.
Awal hari ini polis mengesahkan mereka akan menghubungi penganjur bagi mendapatkan butiran kejadian kontroversi itu.
“Tiada siasatan rasmi setakat ini memandangkan polis belum menerima sebarang laporan, tapi kami dapatkan maklumat.
“Polis akan panggil penganjur tengahari ini. Polis KLIA akan uruskannya,” kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.
Dalam kenyataan berasingan, Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) berkata The 1975 telah disenaraihitam daripada membuat persembahan di negara ini.
Puspla juga telah membuat laporan polis terhadap kumpulan itu dan penganjur festival kerana kecuaian dan kegagalan mematuhi syarat ditetapkan untuk artis yang membuat persembahan di Malaysia.
“Ketika permohonan dibuat, pihak penganjur telah memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan artis tersebut.
“Tindakan yang ditunjukkan oleh artis tersebut merupakan satu penghinaan, memperlekehan undang-undang negara dan melanggar tatasusila rakyat Malaysia,” kata kenyataan. – 22 Julai, 2023.
Komen