Tindakan Sanusi jelas cabar institusi diraja, kata Anwar


PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mempersendakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya mengenai institusi diraja Selangor.

The News Straits Times melaporkan Anwar mendakwa Sanusi mencari masalah dan sengaja mencetuskan provokasi terhadap institusi diraja.

Anwar semasa program “Kita Hulu Kelang” di Keramat malam tadi, juga berkata beliau tidak terlibat dalam pertuduhan menghasut ke atas Sanusi.

“Orang cakap saya zalim kerana kes pertuduhan beliau (Sanusi) di mahkamah, tetapi bukan saya yang membuat laporan itu.

“Dewan Diraja Selangor yang buat laporan, bukannya saya,” katanya.

Pada Selasa, Sanusi mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas dua pertuduhan menghasut berhubung ceramahnya di Selayang.

Dalam pertuduhan pertama, beliau didakwa membuat komen berbaur hasutan berhubung pelantikan menteri besar Selangor.

Sanusi, 48, didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat terhadap pemerintah dengan membuat kenyataan itu.

Di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh, Sanusi, yang merupakan pengarah pilihan raya Perikatan Nasional, juga menafikan membuat kenyataan berbaur hasutan berhubung Agong.

Sanusi dilaporkan mempersoalkan sama ada Agong benar-benar menitahkan supaya kerajaan perpaduan dibentuk selepas pilihan raya umum November.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada ceramah yang sama di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kg Bendahara, Gombak, pada 11 malam pada 11 Julai.

Anwar turut mempersoalkan tindakan pesuruhjaya PAS Selangor menghadap Sultan Selangor.

“Mengapa ketua PAS Selangor menghadap Sultan? Mengapa beliau juga memohon maaf jika kenyataan seperti itu tidak dibuat sejak awal?

“Raja dan Perlembagaan adalah payung negara, jadi kita tidak boleh menjadikan ia mainan percakapan,” katanya.

Anwar juga menafikan terlibat dengan pertuduhan yang dibuat terhadap Sanusi.

“Seolah-olah semuanya salah saya apabila pertuduhan dibuat (ke atas individu tertentu).

“Namun, ini semua di bawah bidang kuasa polis, pendakwa raya serta peguam negara. Saya tidak terlibat dalam mana-mana proses.” – 22 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen