Parti Move Forward beri laluan kepada sekutu tubuh kerajaan


Pita Limjaroenrat yang memimpin Parti Move Forward gagal mendapat sokongan Parlimen untuk menjadi perdana menteri Thailand. – Gambar AFP, 21 Julai 2023.

PARTI Move Forward (MFP) Thailand akan memberi laluan kepada rakan gabungannya Parti Pheu Thai untuk membentuk kerajaan selepas pencalonan pemimpinnya Pita Limjaroenrat gagal mendapat sokongan Parlimen.

Setiausaha Agung MFP Chaithawat Tulathon berkata parti itu akan menyokong Pheu Thai untuk menamakan calon perdana menteri apabila Parlimen bermesyuarat pada Khamis depan (27 Julai).

“Jelas ada pakatan oleh pihak konservatif untuk menyekat MFP daripada membentuk kerajaan.

“Apa yang penting hari ini ialah bukannya sama ada Pita boleh menjadi perdana menteri atau tidak, tetapi mengenai mengembalikan demokrasi kepada Thailand.

“Kita akan berikan parti kedua terbesar dalam gabungan itu memimpin dan membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media di Bangkok hari ini.

Beliau berkata cadangan MFP untuk meminda Perkara 112 Kanun Jenayah atau lebih dikenali sebagai lese-majeste, dijadikan alasan untuk menolak parti itu.

MFP yang memenangi 151 kerusi dan memperoleh 14.2 juta undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei mengetuai gabungan lapan parti yang memperoleh 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam pengundian pusingan pertama pada 13 Julai,  Pita, satu-satunya calon perdana menteri, hanya memperoleh 324 undi.

Daripada 705 ahli Parlimen yang hadir, 182 mengundi menentangnya, manakala 199 berkecuali.

Hanya 13 daripada 249 senator (seorang meletak jawatan pada hari Rabu) menyokong Pita dengan selebihnya mengundi menentangnya atau berkecuali.

Percubaan kedua Pita untuk memenangi jawatan tertinggi pada Rabu, berakhir selepas pencalonannya sekali lagi ditolak oleh Parlimen dwidewan.

Sementara itu, Parti Pheu Thai jelas tidak akan meminda Perkara 112 Kanun Jenayah jika berkuasa.

Calon perdana menteri Pheu Thai, Srettha Thavisin berkata 749 ahli Parlimen dwidewan jelas tidak akan menyokong parti yang menyokong rang undang-undang lese-majeste.

“Pheu Thai tidak akan mempertimbang untuk meminda Seksyen 112 Kanun Jenayah jika ia menamakan calon perdana menterinya dalam sidang bersama akan datang pada 27 Julai. Tiada undang-undang lese-majeste kerana senator yang dilantik junta tidak akan menyokong calon itu.

“Ia adalah perkara asas,” katanya.

Srettha adalah antara tiga calon perdana menteri Pheu Thai, yang memenangi 141 kerusi pada PRU 14 Mei.

Seramai 250 senator yang dilantik tentera menjelaskan bahawa mereka tidak akan menyokong mana-mana calon perdana menteri yang bercadang meminda Perkara 112 Kanun Jenayah. – Bernama, 21 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen