PRESIDEN Rusia Vladimir Putin menyalahkan kebakaran pusat beli-belah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 64 orang di Kemerovo, Siberia kepada “kecuaian jenayah”, ketika melawat ke tempat kejadian hari ini, dua hari selepas kejadian.
Mangsa yang kebanyakannya kanak-kanak mati apabila pusat beli-belah yang sibuk di bandar industri itu terbakar, menjadi insiden kebakaran paling teruk pernah direkodkan di negara itu dalam tempoh seabad lalu.
Putin ke Kemerovo hari ini ketika ramai yang mempersoalkan cara kerajaan Kremlin mengendalikan bencana itu.
“Apa yang berlaku di sini? Ini bukan permusuhan. Orang ramai datang sini untuk berehat,” kata Putin.
Kemerovo isytihar berkabung tiga hari bermula hari ini.
Tetapi pengkritik mempertikaikan kenapa kerajaan tidak mengisytiharkan berkabung di seluruh negara dan saluran televisyen nasional tidak menarik keluar program hiburan mereka dengan lebih cepat.
Penyiasat dan saksi berkata ramai termasuk kanak-kanak terbakar hidup-hidup kerana pintu keluar kecemasan dikunci, iaitu di panggung wayang di mana kanak-kanak sedang menonton kartun.
Jawatankuasa Siasatan berkata siasatan jenayah dibuka dan lima orang ditahan termasuk pegawai daripada syarikat keselamatan pusat beli-belah itu yang disyaki menutup sistem pemberitahuan awam ketika kebakaran berlaku. – AFP, 27 Mac, 2018.
Komen