REMINGTON Outdoor Company, pembuat senjata api tertua dan terbesar di Amerika Syarikat (AS), telah memfailkan permohonan bagi perlindungan muflis pada Ahad di Mahkamah Kebankrapan AS di Wilmington, Delaware, lapor agensi berita China Xinhua.
Lembaga pengarah Remington berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbang keadaan kewangan dan operasi syarikat.
“Para pengarah telah memutuskan bahawa adalah wajar dan demi kepentingan syarikat serta pemiutangnya, pemegang ekuiti, pekerja dan pihak berkepentingan lain, maka syarikat memfailkan atau menyebabkan difailkan satu petisyen sukarela bagi relif di bawah peruntukan Bab 11 Kod Kebankrapan Amerika Syarikat (Kod Kebankrapan),” demikian menurut kenyataan lembaga pengarah syarikat itu yang bertarikh 20 Mac.
Remington merancang untuk mengurangkan hutangnya yang berjumlah lebih AS$950 juta dan mengesahkan pelan muflisnya pada 3 Mei.
Mahkamah kebankrapan akan memulakan pendengaran kes pada Selasa. Permohonan itu difailkan sehari selepas perhimpunan March for Our Lives yang dianjurkan di seluruh negara bagi menentang keganasan senjata api sebagai memperingati 17 pelajar dan anggota fakulti yang terbunuh di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas, Florida.
Remington telah disaman oleh anggota keluarga mangsa dalam kes tembakan di Sekolah Rendah Sandy Hook yang berlaku pada Disember 2012.
Syarikat itu, bersama-sama pengeluar senjata api lain, telah didakwa mengeluar dan memasarkan raifal AR-15 yang digunakan oleh penembak untuk membunuh 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa. – Bernama, 27 Mac, 2018.
Komen