Wan Saiful gagal batal tuduhan rasuah, kes dibicara Mac depan


Pada 29 Mei lalu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor memfailkan permohonan untuk membatalkan dua pertuduhan atas alasan pertuduhan terhadapnya adalah cacat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2023.

BEKAS Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan berkaitan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan dikemukakan peguam bela, Amer Hamzah Arshad dan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi.

Justeru Rozina memerintahkan kes itu diteruskan dengan perbicaraan ditetapkan25 hingga 27 Mac; 29 dan 30 April; dan 20 hingga 22 Mei tahun depan selain menetapkan 1 Disember ini untuk pengurusan kes.

Pada 29 Mei lalu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor memfailkan permohonan untuk membatalkan dua pertuduhan itu atas alasan pertuduhan terhadapnya adalah cacat.

Dalam pada itu Rasyidah Murni memaklumkan kepada mahkamah seramai 27 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta. 

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Sementara itu Amer Hamzah ketika ditemui pemberita berkata pihaknya tidak akan merayu terhadap keputusan hari ini.

Wan Saiful pula berkata beliau menerima keputusan itu. – Bernama, 21 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen