Lebih 70,000 polis dikerah untuk PRU14, kata KPN


Muzliza Mustafa

Lebih 70,000 anggota polis akan dikerahkan untuk PRU14, selain itu 4,100 anggota polis simpanan juga akan turut membantu mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara pada PRU14, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengerahkan lebih 70,000 anggotanya di seluruh negara untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Jumlah itu adalah 69% daripada jumlah keseluruhan anggota polis seramai 130,401 orang.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan mendapatkan 4,100 anggota Pasukan Polis Simpanan untuk membantu. Dan jika ada keperluan untuk lebih ramai anggota di lapangan, kita ada unit simpanan. Saya tak perlu beritahu anda berapa ramai,” kata Fuzi pada sidang media di Bukit Aman petang ini.

Katanya, angka itu akan ditingkatkan sekiranya ada keperluan.

Fuzi berkata polis sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk berdepan PRU14.

Dalam isu berkaitan, Fuzi mengatakan arahan sudah dikeluarkan kepada polis Kuala Lumpur untuk menangani protes yang akan diadakan Bersih 2.0

Protes itu yang pada mulanya akan diadakan di hadapan Parlimen dipindahkan ke lokasi berhampiran, Tugu Negara.

“Jika mereka menentang undang-undang, sudah tentu kami akan ambil tindakan. Mereka akan disiasat di bawah PAA 2012 (Akta Perhimpunan Aman),” katanya.

Beliau mengatakan polis mengetahui tentang kejadian itu dan sudah bertindak.

Sebelum itu, Fuzi memberikan sijil cemerlang tugas kepada anggota polis.

Anugerah Kecemerlangan Polis tahun ini diberikan kepada 10,133 anggota polis dan kakitangan awam PDRM. – 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen