Jakim tempatkan kader di SKMM bantu pantau hantaran ajaran sesat


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata setakat ini Jakim tidak ada lagi pegawai agama di SKMM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2023.

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menempatkan seorang kader atau pegawai hal ehwal agama Islam di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), bagi membantu suruhanjaya itu memantau sebarang bentuk hantaran berkaitan ajaran sesat di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata urusan penempatan kader itu, akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas pihaknya mengenal pasti kakitangan yang sesuai, untuk memainkan peranan tersebut.

“Setakat ini kita (Jakim) tidak ada lagi pegawai agama di SKMM. Jadi saya minta Jakim hantar seorang kader, sebagai pakar rujuk.

“Bila berlaku hantaran berkaitan ajaran sesat yang sudah tentu akan tular, saya harap kader dapat ambil tindakan segera,” katanya penempatan kader di SKMM itu berupaya mencegah hantaran berkaitan ajaran sesat daripada terus tular.

Beliau berkata langkah berkenaan diambil susulan beberapa video tular di media sosial baru-baru ini, melibatkan beberapa individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran sesat Suhaini Muhammad atau SiHulk.

Na’im berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Mufti Besar India dan juga Pengasas Jamia Markaz, Kerala, India Al-Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dan Penasihat Presiden Mesir Sheikh Dr Usamah Sayyid Al-Azhari, di pejabatnya hari ini.

Na’im berkata Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos, 2020 memutuskan fahaman SiHulk sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata Jakim diarahkan untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan SKMM, untuk membanteras ajaran sesat itu dan Jakim juga akan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan SiHulk kepada Jabatan Agama Islam Negeri, antaranya Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan.

Mengenai sesi kunjungan hormat tersebut, Na’im berkata antara inti pati perbincangan ialah berkaitan usaha memperkukuh hubungan antara Malaysia, India dan Mesir, khususnya dalam aspek pendidikan Islam.

“Seperti mana kita sedia maklum Syeikh Abu Bakar merupakan ulama terkenal di India, manakala Sheikh Dr Usamah pula pakar dalam pengajian Sahih Al-Bukhari,” katanya.

Na’im berkata kedua-dua tokoh tersebut, akan menjadi tetamu utama pada Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Pelancaran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan, yang akan diadakan di Masjid Putra, esok.

Syeikh Abu Bakar juga dijadualkan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim di pejabatnya. – Bernama, 21 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen