NAIB Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil (PRK) bulan depan, lapor Berita Harian.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) PAS menamakan Ahmad Amzad Hashim untuk bertanding di kerusi itu tetapi kemenangannya kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya negeri selepas pempetisyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah semasa berkempen.
Pada PRU15 Ahmad Amzad berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenanginya pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.
Dalam pertandingan empat penjuru Ahmad Amzad memperoleh 63,026 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zuber Embong (22,109), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH) memperoleh 10,946 undi manakala calon Pejuang Mohamad Abu Bakar mendapat 481 undi.
Khabar angin mengatakan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar negeri menjadi calon utama pimpinan PAS pusat yang akan diberi mandat untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRK berkenaan.
Ahmad Samsuri juga dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang dalam pilihan raya negeri.
Difahamkan turut tersenarai sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ialah Pengerusi Muafakat Nasional Annuar Musa.
Nama Ahmad Samsuri, Ahmad Amzad dan Annuar Musa dihantar ke Majlis Tertinggi PAS untuk dibincangkan sebelum keputusan dibuat.
Ahmad Amzad sebelum ini dilaporkan bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu sekiranya beliau dinamakan sebagai calon.
“Jika tidak tersenarai, kita akan terus memberi sokongan kepada calon yang dipilih jawatankuasa tertinggi PAS Pusat bagi memastikan kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
“Kita serahkan kepada keputusan PAS Pusat, terpilih atau sebaliknya, kita akan teruskan perjuangan untuk memastikan Parlimen Kuala Terengganu kekal milik PAS,” katanya.
Bagaimanapun Ahmad Samsuri menyatakan nada berbeza dalam isu calon bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.
Beliau merasakan itu hanya spekulasi.
Ahmad Samsuri menyifatkan spekulasi yang tular di media sosial tidak sama seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS pusat.
“Kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak membuat spekulasi mengenai calon di Parlimen Kuala Terengganu di media sosial.
“Tetapi sehingga kini kita tidak mempunyai maklumat mengenai calon daripada PAS yang akan dipertaruhkan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu,” katanya. – 21 Julai, 2023.
Komen