SAIFUDDIN Nasution Ismail berkata beliau tidak menerima sebarang surat tuntutan daripada Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaannya tentang kecurian nadir bumi dan penyelewengan dana penyelenggaraan jalan.
“Saya tidak terima apa-apa. Bezanya kami ialah saya boleh dihubungi bila-bila masa, dan saya tidak elak jawab telefon.
“Saya boleh didatangi dengan mudah tanpa perlu ditahan jam 3 pagi,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.
Sanusi yang juga pemangku menteri besar Kedah sebelum ini berkata beliau beri tempoh tujuh hari kepada Saifuddin susulan tuduhan dilemparkan kepadanya berhubung kecurian nadir bumi dan penyelewengan dana penyelenggaraan jalan.
Tuntutan dibuat menerusi peguamnya.
Sanusi berkata Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR membuat dakwaan itu sebagai serangan politik berniat untuk membantu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
“Anda memilih untuk mensensasikan perkara ini dengan membuat tuduhan kepada umum tanpa periksa dan tanpa bukti dokumen yang sah, lengkap dan tepat daripada sumber boleh dipercayai.
“Maka, jelas yang tindakan anda berniat jahat tanpa niat untuk mencari kebenaran dan penjelasan daripada anak guam kami berkenaan fakta sebenar,” kata surat itu.
Pada 15 Julai, Saifuddin mendakwa Sanusi dikenakan kompaun RM500,000 atas kesalahan mencuri nadir bumi di Sik, Kedah tahun lalu.
“Kita lantik menteri besar untuk urus negeri, bukan jadi pencuri,” kata Saifuddin pada satu ceramah di Guar Chempedak, Kedah.
Sanusi bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mendakwa fakta Saifuddin salah.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Kedah Md Shuhaime Abd Rahman sementara itu berkata kompaun itu dikenakan terhadap Menteri Besar Incorporated, bukan Sanusi. – 21 Julai, 2023.
Komen