Dokumen didedahkan Anwar buktikan saya cakap benar, kata Muhyiddin


Muhyiddin Yassin berkata dokumen dikeluarkan Anwar Ibrahim adalah mengenai sukuk dan bukannya pelupusan hutang peneroka Felda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2023.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengarahkan peguamnya meneruskan saman terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana memfitnah beliau berhubung pelupusan hutang peneroka Felda.

Muhyiddin berkata ia susulan dokumen dikeluarkan oleh Anwar semalam untuk membuktikannya daripada dakwaan beliau tidak meluluskan pelupusan hutang itu.

Beliau berkata dokumen dikeluarkan adalah berkaitan terbitan sukuk yang dikaitkan dengan keputusan Kabinet pada 2020 dan bukannya mengenai pelupusan hutang itu sendiri.

“Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka Felda. Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar,” kata presiden Bersatu itu dalam satu kenyataan.

Pada 18 Julai, Muhyiddin memberi tempoh 24 jam kepada Anwar untuk menarik balik dakwaan yang beliau tidak menunaikan janjinya untuk menghapuskan hutang peneroka.

Susulan itu Anwar semalam mendedahkan dokumen yang menurutnya bukti beliau meluluskan pelan pelupusan hutang.

Ini serta-merta dipertikaikan oleh bekas pembantu Muhyiddin, Marzuki Mohamad, yang berkata dokumen dikeluarkan adalah daripada perjanjian mengenai sukuk yang dijamin kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.

“Dokumen tersebut bukan perjanjian pelupusan hutang untuk peneroka Felda,” kata Marzuki.

Muhyiddin berkata rujukan Anwar terhadap dokumen sukuk sebagai bukti menunjukkan beliau tidak faham apa yang ditandatanganinya.

“Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.

“Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai perdana menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” kata Muhyiddin, menggunakan istilah mempersendakan slogan Madani Anwar.

Pada 2020, Muhyiddin memulakan rancangan menghapuskan hutang peneroka Felda, dan ini diluluskan oleh Kabinet pada Oktober 2020.

Ini termasuk terbitan sukuk RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan untuk membiayai rancangan penstrukturan semula Felda.

Bagaimanapun pada Februari tahun ini, Putrajaya berkata ia tidak dapat meneruskan rancangan Muhyiddin untuk mengetepikan pinjaman peneroka, memandangkan kekangan aliran tunai Felda.

Awal bulan ini, Anwar mendakwa Muhyiddin tidak pernah melaksanakan rancangan menghapuskan pinjaman peneroka dan beliau, sebagai menteri kewangan, yang menandatangani peruntukan RM8.3 bilion pada Jun.

Beliau mengulangi kenyataan itu pada 8 Julai dan berkata Muhyiddin terlalu sibuk “mencari kontrak untuk anak-anak”. – 21 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen