Sekolah di beberapa negeri di India ditutup susulan hujan berterusan


Hujan lebat yang berterusan di beberapa negeri di India menyebabkan beberapa sekolah dan institusi pendidikan lain terpaksa ditutup. – Gambar AFP, 20 Julai, 2023.

SEKOLAH dan institusi pendidikan lain di beberapa negeri di India ditutup berikutan hujan yang berterusan, umum kerajaan tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.

Di selatan Telangana, sebahagian dari negeri berbukit di utara Himachal Pradesh dan beberapa daerah di barat daya negeri Maharashtra menerima hujan lebat sejak 24 jam lalu dan hujan lebat hingga sangat lebat dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi. 

Kerajaan Telangana memutuskan untuk mengisytiharkan cuti selama dua hari bagi institusi pendidikan negeri mulai Khamis, ciap Menteri Pendidikan negeri Sabitha Reddy.

Kesesakan lalu lintas dilaporkan di Telangana ibu negeri Hyderabad pada Khamis.

Menurut arahan rasmi yang dikeluarkan, semua sekolah dan institusi pendidikan ditutup dari 20-22 Julai di sebahagian kawasan Himachal Pradesh berikutan kebimbangan banjir kilat dan tanah runtuh akibat hujan berterusan.

Selain itu sekolah dan institusi pendidikan lain di negeri Maharashtra ditutup sejak beberapa hari lalu khususnya di daerah Raigad, sebahagian ibu negeri kewangan Mumbai dan kawasan bersebelahan dengannya.

Sekurang-kurangnya lima orang maut dan beberapa lagi dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Raigad ketika usaha menyelamat dan bantuan sedang dijalankan. – Bernama, 20 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen