Kes kebencian anti Islam meningkat lebih sekali ganda di UK dalam sedekad 


KES kebencian anti-Islam meningkat lebih sekali kali ganda dalam sedekad, menurut kumpulan pemantau British yang menghasilkan kajian terperinci mengenai serangan sedemikian di United Kingdom (UK), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Tell Mama, yang memantau dan berusaha untuk menangani sentimen dan penganiayaan anti-Islam, berkata kes kebencian anti-Islam yang disahkan telah meningkat setiap tahun daripada 584 pada 2012 kepada 1,212 kes pada 2021.

Ia berkata walaupun ini sebahagiannya berkemungkinan Tell Mama telah menjadi sebuah organisasi yang lebih dikenali untuk orang ramai melaporkan kebencian dan ketaksuban itu, ia berkemungkinan juga menunjukkan bahawa kes kebencian anti-Islam juga telah meningkat.

Selain Tell Mama menjadi lebih mudah dikenali sebagai pertubuhan untuk melaporkan kebencian dan ketaksuban, ia turut menunjukkan bahawa lebih banyak kes kebencian anti-Islam sedang berlaku.

Sejak 2012, Tell Mama  telah membantu dan menyokong lebih 16,000 kes yang dilaporkan, dengan lebih 20,000 orang membuat laporan.

Menurut pertubuhan berkenaan, kebencian dalam talian melonjak ke tahap tertinggi pada 2020 dan pandemik telah mempercepat penyalahgunaan di Internet untuk tujuan itu. 

Pada tahun yang sama, terdapat “peningkatan ketara dalam pertikaian berkaitan jiran yang bertukar menjadi anti-Islam”, dengan organisasi merekodkan lebih satu perempat daripada semua kes di luar talian termasuk dalam kategori ini.

Sekatan pergerakan semasa pandemik merupakan hambatan dalam kes berkaitan rumah tangga dan jiran.

Pada 2020, terdapat 1,318 kes dalam talian dan luar talian, kata Tell Mama.

Kumpulan itu berkata kekerapan tertinggi kes luar talian yang disahkan berlaku antara tahun 2016, 2017 dan 2019, yang sepadan dengan “sekumpulan serangan pengganas di United Kingdom, serangan pengganas Christchurch di New Zealand dan keputusan referendum Brexit”.

Tell Mama berkata aktiviti sayap kanan, serangan anti-Islam di seluruh dunia, wacana politik, keputusan referendum Brexit, aktiviti IS, keganasan dan ekstremisme, skandal seksual dan kempen anti-Islam yang disasarkan, kesemuanya telah membawa kepada lonjakan dalam kebencian anti-Islam”.

Memetik kempen “Punish a Muslim” pada 2018 yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam Britain dan konflik Israel-Palestin, sekali lagi menyumbang kepada peningkatan kes anti-Islam pada 2021.

Peningkatan kes turut berlaku semasa serangan terhadap pencari suaka dan pusat yang menyokong mereka dan apabila pemain kriket Azeem Rafiq mendedahkan mengenai pengalaman rasis yang dialaminya.

Pengarah kumpulan itu, Iman Atta berkata: “Kami telah menghasilkan satu daripadakajian paling terperinci di UK dengan bilangan kes sebenar dan klasifikasi kes kebencian anti-Islam untuk tempoh satu dekad dari 2012 hingga 2022 yang bertujuan membantu, menyokong dan memastikan bahawa orang Islam British mendapat akses kepada keadilan.

“Kami berharap data ini memberi inspirasi kepada orang lain untuk memberi tumpuan kepada bidang kerja ini dan menyedarkan ramai bahawa kebencian anti-Islam perlu ditentang secara aman, dipantau dan ditangani walau di mana ia berlaku.

“Jika kita ingin memastikan perpaduan sosial masyarakat diperkukuh, usaha menangani kebencian anti-Islam merupakan bidang kerja penting yang memerlukan usaha kolektif bersama,” katanya. – Bernama, 20 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen