TIKTOK kini merupakan sumber tunggal berita yang paling banyak digunakan di semua platform untuk remaja di United Kingdom (UK), lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik satu kajian baharu pengawal selia komunikasi UK Ofcom.
Laporan Penggunaan Berita Pengawal Selia Di UK 2022/23 mendapati TikTok adalah sumber berita tunggal yang digemari dalam kalangan kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.
TikTok paling popular dalam kalangan orang muda dan digunakan oleh 28 peratus remaja, diikuti oleh YouTube dan Instagram, kedua-duanya pada 25 peratus.
Bagaimanapun, dengan mengambil kira semua kandungan berita pada platformnya, BBC masih mempunyai capaian tertinggi daripada mana-mana organisasi berita dalam kalangan kumpulan umur ini – 39% remaja menggunakannya.
Kecenderungan itu berlaku selepas kerajaan UK melarang menteri daripada menggunakan TikTok, yang merupakan aplikasi perkongsian video milik China, pada telefon kerja mereka berikutan satu semakan keselamatan.
TikTok dimiliki syarikat internet China ByteDance, berpendapat platform itu tidak berkongsi data dengan China.
Bagaimanapun, undang-undang perisikan Beijing menetapkan syarat agar syarikat-syarikat membantu Parti Komunis apabila diminta.
Apabila mempertimbangkan persepsi kepercayaan, remaja menilai sumber tradisional lebih baik daripada rakan dalam talian mereka ketika BBC One/Two dipercayai 82% pengguna remajanya, berbanding TikTok pada 32%, Instagram 38%, Facebook 41% dan Snapchat 31%. Pengecualian diberikan kepada Twitter, dengan rating 50% pada kepercayaan, dedah Ofcom.
Topik berita yang paling menarik minat remaja yang lebih muda secara amnya ialah “personaliti sukan atau sukan” (23%), “berita muzik atau penyanyi” (15%), “selebriti atau orang terkenal” (11%), “perkara serius yang berlaku di UK” (8%) dan berita tentang “haiwan atau alam sekitar” (9%).
Selain itu, mereka yang berumur 16 hingga 24 tahun adalah lebih kecil daripada purata orang dewasa untuk mengakses berita daripada sumber media tradisional, seperti TV (47 berbanding 70%), radio (25 berbanding 40%) dan akhbar cetak (16 berbanding 26%).
Sementara itu, platform media sosial mendominasi lima sumber berita paling popular dalam kalangan remaja berusia 16 hingga 24 tahun.
Instagram adalah sumber berita tunggal yang paling banyak digunakan pada 44%, diikuti Facebook pada 33%, Twitter 31%, dan TikTok 29%. Mendapat tempat kedua bersama, BBC One pada 33% adalah satu-satunya sumber media tradisional yang dipaparkan dalam lima teratas.
Ofcom berkata angka diperolehinya menunjukkan siaran berita TV mengekalkan kedudukannya sebagai sumber paling popular dalam kalangan orang dewasa di UK, digunakan 70% meningkat kepada 75% apabila kandungan berita atas permintaan penyiaran disertakan.
Sementara itu, Facebook – sumber berita ketiga paling popular dalam kalangan orang dewasa - menunjukkan tanda penurunan, daripada 33 kepada 30% dalam tempoh lima tahun lalu.
Populariti TikTok sebagai sumber berita untuk orang dewasa semakin berkembang, dengan satu daripada 10 orang dewasa mengatakan mereka menggunakannya untuk mengikuti cerita terkini – mengatasi BBC Radio 1 dan Channel 5, kedua-duanya pada 8% buat kali pertama. – Bernama, 20 Julai, 2023.
Komen