Calon wanita tunggal menang rayuan bertanding pilihan raya presiden Zimbabwe


Pemimpin Parti Perikatan Zimbabwe Bersatu Elizabeth Valerio menang rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Zimbabwe (ZEC) yang membatalkan kelayakannya daripada mendaftar sebagai calon presiden pada pilihan raya. – Gambar Facebook, 20 Julai, 2023.

PEMIMPIN Parti Perikatan Zimbabwe Bersatu Elizabeth Valerio memenangi rayuannya terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Zimbabwe (ZEC) yang membatalkan kelayakannya daripada mendaftar sebagai calon presiden pada pilihan raya bulan depan.

Valerio juga satu-satunya wanita dalam kalangan 10 calon presiden yang akan bertanding untuk jawatan tertinggi negara itu pada 23 Ogos.

Pendaftaran Valerio sebagai calon ditolak oleh badan pilihan raya selepas menyerahkan sebahagian bukti pembayaran bank mengenai bayaran pencalonan yang diperlukan, menurut New Ziana.

Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi berkata ZEC telah membuat kesilapan apabila enggan menerima kertas pencalonannya dan memerintahkan badan itu mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan Valerio didaftarkan dan namanya tertera pada kertas undi presiden sebagai seorang calon.

Zimbabwe mengadakan pilihan raya presiden, parlimen dan kerajaan tempatan pada 23 Ogos untuk memilih wakil baharu untuk lima tahun akan datang.

Calon lain untuk jawatan tertinggi negara itu ialah Presiden Mnangagwa, Nelson Chamisa dari parti pembangkang, Citizens Coalition for Change, Douglas Mwonzora, Trust Chikohora, Lovemore Madhuku, Blessing Kasiyamhuru, Joseph Makamba Busha, Wilson Harry dan Gwinyai Muzorewa.

Pada pilihan raya umum 2018, sebanyak 23 calon presiden termasuk ahli politik tidak dikenali bertanding.

Tetapi kali ini, jumlah calon presiden berkurangan hampir separuh, sebahagiannya disebabkan oleh yuran pendaftaran yang tinggi diperlukan.

Calon presiden memerlukan AS$20,000 untuk mendaftar dan mengambil bahagian dalam pengundian. – Bernama, 20 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen