Perikatan terdesak perlu bantuan Dr Mahathir, kata Ramasamy


PN terdesak hingga menyebabkan ia memerlukan bantuan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam berdepan PRN bulan depan, kata pemimpin DAP P Ramasamy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2023.

KEPUTUSAN Perikatan Nasional (PN) untuk menerima Dr Mahathir Mohamad menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan menunjukkan pakatan itu tidak lagi yakin dengan sokongan Melayu terhadap mereka, kata P Ramasamy.

Pemangku timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata keterdesakan politik PN adalah bukti berlaku kemerosotan kepercayaan antara Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang.

“PAS dan Bersatu tidak begitu yakin dalam mengulangi pencapaian sama seperti pada pilihan raya umum (PRU) tahun lalu,” kata pemimpin DAP itu yang menyatakan ia berpunca daripada pentadbiran baik Anwar Ibrahim sejak menjadi perdana menteri selepas PRU15.

“Beliau tegas dan tidak bertolak ansur terhadap rasuah, mengguna pakai langkah diperlukan untuk menangani kemiskinan, mengawal harga barang dan menstabilkan ringgit.

“Anwar tahu walaupun wujud retorik kaum dan agama daripada pembangkang, isu kehidupan adalah lebih penting untuk golongan miskin dan memerlukan.

“PAS tahu ia boleh memukau pengundi Melayu di negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu yang mungkin boleh meraih undi.

“Tetapi akhirnya, bagi rakyat yang penting ialah mengisi perut, duit untuk membeli barangan asas dan lain-lain,” kata Ramasamy.

Katanya, Anwar memberikan mesej yang tepat dan munasabah untuk menangani keperluan golongan misikin, dan ini mungkin mencetuskan panik dalam barisan pembangkang.

“Jadi, mereka rasa dengan membawa Dr Mahathir ke kubu pembangkang, ada kemungkinan sokongan Melayu dapat dipertingkatkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau beri amaran kepada pemimpin PN, Dr Mahathir tidak boleh dipercayai.

“Dalam Langkah Sheraton, Dr Mahathir pada asasnya mengkhianati Muhyiddin dan Azmin.

“Tidak ada jaminan Dr Mahathir akan menarik pengaruh seperti Muhyiddin dan Hadi.” – 20 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen