PANGKAT kehormatan tentera yang diteirma Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Md Nor sepatutnya ditarik balik susulan kenyataannya yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, cadang Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin, yang juga setiausaha agung PKR berkata sultan adalah Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sementara Sanusi dikurniakan pangkat Laksamana Pertama (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela TLDM pada 2021.
“Sanusi ada pangkat kehormat; beliau bukan anggota TLDM, tetapi ada pangkat kehormatan itu. Sultan Selangor adalah Yang Dipertua TLDM.
“Tiba-tiba dia mengeluarkan kenyataan menghina Tuanku, jadi saya percaya sudah tiba masanya Majlis Angkatan Tentera untuk menyemak semula keistimewaan pangkat Sanusi kerana mungkin perlu ditarik balik.
“Tarik balik, kerana tidak menghormati Sultan Selangor,” katanya dilaporkan berkata ketika berceramah di Selangor malam tadi.
Pada Selasa, pemangku menteri besar Kedah itu didakwa di mahkamah atas tuduhan hasutan kerana membuat kenyataan terhadap Sultan Selangor ketika kempen ceramah pada 11 Julai.
Sanusi juga berdepan pertuduhan kedua kerana membuat kenyataan hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong berkenaan pembentukan kerajaan perpaduan. – 20 Julai, 2023.
Komen