Kestabilan politik perkukuh ekonomi, tarik pelabur ke Negeri Sembilan


Menteri Besar Aminuddin Harun berkata Negeri Sembilan tidak tertumpu kepada satu industri sahaja tetapi turut menerokai sektor lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2023.

PEMBENTUKAN Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan memberi nilai tambah kepada kerajaan Negeri Sembilan dari segi pengukuhan ekonomi dalam pelbagai sektor bagi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Secara keseluruhan prestasi pelaburan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun yang mencecah RM32.22 bilion merupakan pencapaian membanggakan bagi tempoh lima tahun, bermula 2018 selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Meskipun pelbagai cabaran ditempuh terutama berdepan ketidaktentuan politik di peringkat Pusat serta pandemik Covid-19, Aminuddin berkata peningkatan ekonomi dalam sektor perindustrian, pertanian dan penternakan merupakan satu peralihan yang baik dalam tempoh lima tahun ini .

“Antaranya adalah perindustrian menerusi Malaysia Vision Valley (MVV) dan pelaburan mencecah RM1 bilion di Gemas oleh syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) iaitu pelaburan besar yang melibatkan sektor pertanian, bagi bidang perhotelan pula Lexis Hibiscus II melabur hampir RM1 bilion,” katanya.

Aminuddin berkata Negeri Sembilan tidak tertumpu kepada satu industri sahaja tetapi turut menerokai sektor lain yang berpotensi meliputi pertanian, perlombongan serta penternakan yang memberi impak besar kepada ekonomi negeri termasuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Selain itu, beberapa projek oleh kerajaan Persekutuan dan syarikat swasta selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan ternyata membuktikan kepimpinan Aminuddin komited untuk memastikan sasaran menoktahkan miskin tegar dapat diselesaikan segera. 

Antara usaha menoktahkan miskin tegar termasuk pembangunan projek rintis ladang penternakan lembu bersaiz mega di tanah berkeluasan 12.14 hektar di Jelebu yang dijalankan secara profesional dan moden.

Beliau berkata kerajaan negeri mendapati generasi muda di negeri ini berminat dalam bidang penternakan terutama di Kuala Pilah dan Rembau, yang mana bidang itu mendapat sambutan yang baik serta meraih pendapatan lumayan, justeru ia harus dikomersialkan dalam pasaran yang lebih luas.

“Penternak ini dalam kalangan anak-anak muda berminat dengan ternakan lembu bersaiz besar, saya difahamkan di peringkat Kementerian Ekonomi, mereka sedang berunding dengan beberapa syarikat swasta untuk bersama-sama dalam projek penternakan ini.

“Kawasan dikenal pasti di Jelebu dengan keluasan tanah 12.14 hektar (30 ekar) untuk permulaan. Selain itu kerajaan negeri juga berbincang dengan syarikat F&N untuk bersama-sama membantu generasi muda ini dalam penternakan dengan bersistematik,” katanya.

Dalam pada itu Aminuddin berkata kerajaan negeri juga berusaha meningkatkan pendapatan rakyat dalam sektor pertanian dengan menawarkan tanah kepada Kementerian Ekonomi untuk dibangunkan dengan penggunaan teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI), selain memperkenalkan beberapa pengusaha sektor pertanian kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

“Saya mencadangkan pembinaan infrastruktur pertanian moden ini dibuat di tanah kerajaan supaya pada masa akan datang jika petani itu tidak berminat, kerajaan negeri boleh ambil senarai (pengusaha) baharu untuk menjalankan pertanian ini, saya yakin ini akan membantu mengurangkan miskin tegar,” katanya.

Bagi merancakkan pendapatan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), beliau berkata kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan berbentuk geran berjumlah hampir RM20 juta kepada peniaga di negeri ini, terutama ketika negara berdepan ancaman Covid-19.

“Kebanyakan usahawan IKS menjalankan industri pembuatan makanan ini semakin baik, contohnya daging salai, ikan salai, biskut, kerepek, pasaran produk mereka mendapat permintaan di negeri lain apabila memasarkan produk secara digital,” katanya.

Kerajaan negeri turut memastikan telekomunikasi terus dipertingkat dengan liputan 4G yang sangat baik iaitu sekitar 94% hingga 95%, manakala rangkaian 5G dimulakan di beberapa lokasi antaranya Seremban, Nilai, Sendayan dan Port Dickson.

Selain itu, langkah segera kerajaan negeri menawarkan tanah seluas 20.23 hektar (50 ekar) kepada kerajaan Persekutuan untuk kelulusan pembinaan empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu di Desa Tanjung, Senawang, Ladang Siliau dan Rantau telah memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Aminuddin berkata Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan pembinaan empat projek PPR tersebut dengan nilai keseluruhan RM150 juta.

“Pembinaan ini satu keperluan bagi membantu masyarakat di bandar yang khususnya berpendapatan sederhana.

“Kos sewa rumah di Seremban meningkat sejak akhir-akhir ini dan memberi bebanan kepada masyarakat, jadi jika PPR ini dapat disegerakan, ia akan memanfaatkan golongan memerlukan,” katanya. – Bernama, 20 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen