MAHKAMAH tertinggi Maghribi menolak rayuan akhir dua wartawan, Omar Radi dan Soulaimane Raissouni yang dijatuhi hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas tuduhan serangan seksual, kata peguam.
Peguam Miloud Kandil berkata mahkamah di Rabat semalam menolak rayuan anak guamnya dan mengekalkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh yang menjalani hukuman berkenaan sejak 2021.
Radi, 37, dikenakan hukuman penjara enam tahun sementara Raissouni, 51, lima tahun selepas dibicarakan dalam satu perbicaraan yang didakwa peguamnya sebagai “cacat”.
Badan pemantau hak asasi manusia mendakwa Maghribi menggunakan perbicaraan jenayah terutama bagi kesalahan seksual sebagai “cara penindasan” untuk menutup mulut wartawan dan pengkritik kerajaan.
Pihak berkuasa di negara Afrikan Utara itu berkata wartawan berkenaan dibicarakan mengikut undang-undang jenayah biasa yang tidak ada kena mengena dengan kerjaya mereka atau kebebasan bersuara.
Bapa Radi berkata keluarga mereka sudah menjangkakan keputusan berkenaan walaupun wujud beberapa perkara yang tidak kena dan mencemari prosedur kehakiman. – AFP, 20 Julai, 2023.
Komen