Kerja tebatan banjir di LPT1 disegerakan, kata menteri


Nanta ketika meninjau kerja-kerja tersebut di Temerloh, Pahang, hari ini. – Gambar Facebook Alexander Nanta Linggi, 19 Julai, 2023.

KEMENTERIAN Kerja Raya akan menyegerakan kerja-kerja tebatan banjir di 14 lokasi sepanjang jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menangani masalah banjir yang berulang di lokasi berkenaan.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata sebanyak empat kejadian banjir berlaku di sepanjang LPT1 sejak ia mula dibuka pada 2004.

“Kejadian banjir ini berlaku pada tahun 2007, 2014 dan dua kali pada 2021 iaitu pada bulan Januari dan Disember yang menyebabkan lebuh raya ini ditutup kepada semua jenis kenderaan untuk beberapa hari.

“Selain itu,10 lokasi banjir sudah dikenal pasti iaitu di Kilometer (KM) 84.7, KM112, KM113, KM114, KM115, KM116, KM117, KM124, KM126 dan KM198.

“Empat lagi lokasi berisiko dinaiki air yang dikenal pasti ialah KM156, KM178, KM242 dan di Ramp A, Persimpangan Jabor,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

Beliau mengadakan lawatan di lebuh raya itu hari ini bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Hasnol Zam Zam dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Sazali Harun di Temerloh, Pahang.

 “Saya mendengar taklimat dan melihat sendiri perkembangan projek ini yang sedang dilaksanakan. Pada masa ini, kerja tanah di dua pakej iaitu di KM117 dan KM124 sedang giat dijalankan di tapak dan dijangka siap pada Oktober 2024,” katanya. – Bernama, 19 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen