Pakatan tidak serius kerjasama dengan kami, kata pengerusi PSM


Alfian Z.M. Tahir

Sabtu lalu, Muda dan PSM mengumumkan kerjasama mereka pada PRN kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2023.

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) memutuskan untuk meninggalkan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan itu memutuskan untuk membentuk pakatan dengan Barisan Nasional (BN), kata timbalan pengerusinya S Arutchelvam.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight, aktivis itu mengimbau betapa sukarnya parti itu mengadakan rundingan dengan PH, terutama dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.

“Apabila PSM ditubuhkan pada 1998, kami tidak dapat didaftarkan dan pada 2008, 10 tahun kemudian kami berjaya mendapat kelulusan RoS (Jabatan Pendafataran Pertubuhan).

“Pada 1999, kami bertanding di bawah logo DAP. Pada tahun 2004, apabila kami mahu bertanding di bawah logo DAP, DAP berkata calon ketika itu Michael Jeyakumar Devaraj perlu menjadi ahli DAP. Jadi kami menggunakan logo PKR.

“Sudah tentu pada 2004, kami kalah teruk dan pada 2008, PKR membenarkan kami menggunakan logo mereka di Sungai Siput dan Kota Damansara.

“Menjelang pilihan raya umum 2018, kami cuba membincangkan logo dan kerusi tetapi kami tidak dapat mencari persefahaman. Kami juga bertanding 17 kerusi,” katanya.

Tambahnya, PSM membatalkan pakatan pilihan raya dengan PH untuk pilihan raya umum lalu selepas menyedari PH tidak berminat untuk mengadakan sebarang pakatan dengan mereka.

“Mereka tidak mempunyai keinginan untuk mengadakan pakatan pilihan raya dengan kami. Kami ada hantar surat rasmi kepada mereka untuk rundingan tetapi kami tidak pernah menerima sebarang maklum balas.

“Bila kami tanya Amanah, Amanah kata mereka tak ada masalah dengan PSM, malah mereka suka kami. Apabila kita bertanya kepada DAP, mereka juga kata tidak ada masalah tetapi mereka kata tetap perlu melalui PKR.

“Tetapi tiada kata putus mengenai permohonan kami untuk mengadakan mesyuarat.

“Permintaan kami hanya untuk satu kerusi dan kami tidak paksa mereka, kami mahu bincang tetapi tidak pernah berlaku sebab mereka langsung tidak endahkan kami,” katanya.

PSM menamatkan pakatan pilihan raya dengan PH pada Oktober 2022, hanya sebulan sebelum pilihan raya umum.

 – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2023.

Arutchelvan berkata pada mulanya mereka meminta bekas Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar dibenarkan bertanding semula di kerusi itu, tetapi akan menerima mana-mana tiga kawasan bukan disandang untuk pilihan raya umum 19 November jika permintaan itu tidak dipersetujui.

Pada 2008, Dr Jeyakumar menjadi ‘giant-killer’ apabila beliau mengecewakan presiden MIC ketika itu, mendiang Samy Vellu dengan menawan kerusi Sungai Siput dan mempertahankannya pada 2013.

Namun, pecahan rundingan yang sama pada 2018 membawa kepada pertembungan empat penjuru di kerusi itu, dengan kedua-dua PKR dan PSM bertanding sesama sendiri serta BN dan PAS.

Sekutu baharu dengan Muda

Bagi pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang 12 Ogos ini, PSM bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Muda, selepas parti dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu juga menghadapi kesukaran untuk berunding dengan PH.

Setakat ini PSM menamakan Setiausaha Agungnya Sivarajan Arumugam sebagai calon bagi kerusi Kota Damansara, profesor matematik Dr Darren Ong Chung Lee sebagai calon di Dengkil dan Sivaranjani Manickam bagi kerusi DUN Meru.

Arutchelvam berkata parti itu juga akan mengumumkan lebih banyak nama dalam beberapa hari akan datang malah beliau juga membayangkan akan bertanding pada PRN kali ini.

Aktivis veteran itu bagaimanapun tidak mendedahkan kerusi mana yang bakal ditandinginya.

Beliau sebelum ini pernah bertanding sebagai calon di Semenyih bawah bendera PSM.

Arutchelvam berkata PSM enggan bekerjasama dengan PH lagi pada RPN  selepas gabungan itu menerima BN sebagai rakan sekutu.

“Kami sudah beritahu dengan jelas yang kami tidak akan bekerjasama dengan BN, itu adalah pendirian kami. Jadi apabila PH menerima BN, kami setuju untuk tidak bincang.

“Jadi untuk PRN kali ini, kami tanding sendiri tetapi kami dapati ada persamaan dengan Muda dan putuskan untuk jalin kerjasama serta tidak akan bertembung antara satu sama lain,” katanya.

Ditanya mengenai Muda, Arutchelvam berkata mereka berkongsi pandangan dalam soal cukai kepada golongan kaya dan tadbir urus bersih.

“Dengan Muda kami memutuskan untuk bekerjasama bukan sebagai pakatan pilihan raya tetapi sebagai kerjasama. Kita boleh saling melengkapi, mereka celik teknologi dan mereka menggunakan media sosial sepenuhnya.

“Di PSM kami mempunyai pengalaman di lapangan, kami bagus dalam buat kerja. Masalah dengan PKR ialah mereka berorientasikan kerusi tetapi kami berorientasikan dasar,” katanya.

Minggu lalu, Muda dan PSM menjalin kerjasama menjelang PRN.

Dalam sidang media bersama, kedua-dua pemimpin parti mengisytiharkan mereka berharap kerjasama mereka akan membuka jalan kepada politik baharu di negara ini.

Kerjasama Muda dengan PSM dijalin berikutan keputusan parti itu untuk bertanding secara sendirian dalam PRN selepas PH menolak cadangannya untuk menyertai pakatan itu. – 20 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen